Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA: Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) biarpun harga baharu diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula esok.
Ini bermakna sektor pengangkutan awam darat akan terus menikmati harga subsidi diesel pada RM1.88 seliter, manakala kenderaan pengangkutan barangan darat pula bakal menikmati harga RM2.15 seliter.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat pengangkutan awam dan barangan yang memperoleh kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula esok.
Beliau berkata, ini bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan (MOF) mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.
“Pada masa sama, KPDN menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.
“KPDN ingin menegaskan bahawa semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MOF menetapkan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia mulai tengah malam ini.
SKDS 1.0 membabitkan kenderaan pengangkutan awam darat iaitu bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas mini, bas pengantara, kereta sewa, teksi, van mayat, ambulans (sukarela) dan bomba (sukarela).
Manakala, SKDS 2.0 pula membabitkan kenderaan pengangkutan barangan darat seperti lori rigid-curtainsider, lori rigid-hasil pertanian, lori rigid-kandang haiwan, lori rigid-kombinasi, lori rigid-open platform, bas katering makanan dan van katering makanan.
Turut tersenarai adalah lori katering makanan, lori tangki rigid-minuman, semi-panel van, bas perkhidmatan bergerak, van perkhidmatan bergerak, lori rigid-perkhidmatan bergerak dan lori rigid-sampah.


































