Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: “Jaga mulut dan lisan apabila berbicara.”
Itu pesanan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif kepada pemimpin Parti Warisan (Warisan) yang menyamakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan firaun.
Beliau berkata, sekiranya ingin menjadi pemimpin yang mencontohi kepimpinan Nabi Musa maka, yang pertama harus menjaga mulut dan lisan.
Katanya, seorang pemimpin hendaklah bijaksana dan berhikmah serta penuh dengan nilai kasih sayang.
“Apabila kita menyatakan ingin menjadi seperti Nabi Musa, lidah kita jangan pula meluncurkan sesuatu yang bersifat firaun.
“Jadi, dalam berpolitik, kita harus sama-sama menjaga lidah agar kita dapat berpolitik dalam keadaan yang harmoni,” katanya mengulas kenyataan pemimpin Warisan yang menyatakan sekiranya rakyat memilih firaun maka, pilihlah GRS.
Beliau berkata demikian selepas melawat keadaan Masjid Sembulan yang memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan.
Dalam video tular berdurasi 29 saat, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman yang menyatakan pilihan ditangan rakyat.
Dalam video tersebut Mohd. Azis menyatakan: “Kalau mahu pilih firaun pilihlah GRS, kalau pilih perjuangan Nabi Musa, pilih pemimpin yang benar-benar membawa suara rakyat, membela nasib rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat. Itulah parti yang wajar kita berikan peluang dan kepercayaan memimpin negeri Sabah ini.”


































