PETALING JAYA: Dua aplikasi jual beli dalam talian iaitu ‘Dobemall’ dan ‘Dovevil’ disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
Aplikasi ini menawarkan keuntungan dalam bentuk komisen bagi transaksi pembelian yang dibuat melalui aplikasi tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua laporan polis telah diterima berkaitan aplikasi itu iaitu di Selangor dan Sarawak melibatkan kerugian RM540,600.
Kata beliau, berdasarkan siasatan, sindiket penipuan menggunakan kaedah yang pelbagai untuk memerangkap mangsa.
“Dalam kes di Selangor, mangsa ditawarkan untuk memuat turun aplikasi ini melalui rakan maya yang dikenali melalui aplikasi TikTok.
“Manakala kes di Sarawak, mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi ini setelah menekan pautan iklan tawaran kerja yang dipaparkan di Facebook.
“Setelah memuat turun aplikasi tersebut, mangsa diarahkan menggunakan aplikasi itu untuk membuat pembelian barang yang ditentukan dengan jaminan akan memperoleh keuntungan setiap pembelian yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramli berkata, melalui aplikasi tersebut, mangsa akan dapat melihat wang komisen mereka meningkat.
Namun, kata beliau, apabila ingin mengeluarkan wang, mangsa akan dikenakan pelbagai bayaran tambahan.
“Justeru itu, perkaitan antara kedua-dua aplikasi ini sedang disiasat, namun JSJK tidak menolak kemungkinan ia didalangi oleh sindiket sama.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semakan lanjut turut mendapati aplikasi ‘Dobemall’ masih boleh dimuat turun melalui App Store,” jelasnya.
Ramli memberitahu, JSJK akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menurunkan kandungan tersebut bagi mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa kepada kegiatan penipuan sebegini.
“Hubungi National Scam Response Center di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkenaan jenayah penipuan,” katanya.
































