Anwar Ibrahim
Dalam perutusan negara baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan lapan amanat yang boleh disifatkan sebagai kunci dan formula penting untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Memetik Utusan Malaysia, Perdana Menteri telah memberikan penerangan terperinci dan penekanan serius bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya sedang merancang dan melaksanakan pelbagai langkah serta pendekatan proaktif untuk memajukan ekonomi negara, memperkasa kesejahteraan segenap lapisan anggota masyarakat sekaligus memastikan kelestarian pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Ironinya kerajaan dilihat cukup beriltizam dan serius dalam mengangkat martabat rakyat dan negara melalui lapan fokus dan agenda tumpuan yang telah ditetapkan iaitu meningkatkan pencapaian ekonomi dan menentukan hala tuju yang jelas, mengatasi masalah kelemahan tatakelola dan perangi rasuah, memberi tumpuan serius terhadap usaha membasmi kemiskinan, meningkatkan kadar gaji rakyat ke tahap yang lebih signifikan, menambahbaik ekosistem perniagaan, merungkai masalah kelemahan struktur fiskal negara dan pelanjutan rancangan strategik negara, penyasaran subsidi serta menangani isu keselamatan dan ketenteraan.
Bukan mudah untuk melaksanakan semua agenda dan fokus utama ini tanpa sokongan semua pihak mencakupi pimpinan politik, penjawat awam, pekerja swasta, para majikan dan seluruh anggota masyarakat. Justeru, diharap semua pihak dapat melupakan perbezaan pandangan, ideologi politik mahupun persengketaan dan perselisihan yang ada demi menuju matlamat yang sama iaitu mengangkat martabat rakyat dan negara.
Antara agenda yang menarik perhatian ramai ialah pengumuman rasionalisasi subsidi diesel di Semenanjung Malaysia yang dianggarkan kerajaan dapat menjimatkan wang sebanyak RM4 bilion setahun serta dapat menyalurkan subsidi kepada kelompok yang disasarkan. Ini satu cabaran terbesar kepada kerajaan yang terpaksa mengambil risiko dan berani membuat satu keputusan yang tidak popular demi menyelamatkan wang negara dan memberi keadilan kepada kelompok sasaran yang sepatutnya.
Maka rakyat perlu menyokong agenda penyasaran subsidi ini supaya semua mendapat manfaat yang sewajarnya. Malah kita juga perlu yakin dengan perancangan dan komitmen kerajaan yang telah bersetuju untuk menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel. Ini adalah inisiatif kerajaan bagi membendung kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung.
Pemberian insentif subsidi tersebut dilaporkan bakal membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Tambahan pula, kerajaan juga telah bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
Jadi kita berharap tidak ada pihak yang mencetuskan polemik dan persepsi negatif sehingga mengelirukan rakyat tentang inisiatif penyasaran subsidi ini dengan pelbagai dakyah dan fitnah serta fakta yang salah serta bermotifkan agenda memburukkan nama baik kerajaan.
Cuma apa yang diharapkan. sebelum tarikh pelaksanaan penyelarasan subsidi ini diumumkan, kerajaan terlebih dahulu wajar memastikan wujud mekanisme yang jelas, cekap dan efisien terutamanya dalam memastikan semua kumpulan sasar layak mendapatkan bantuan sosial tersebut.
Ini termasuklah perlu menerangkan kepada rakyat bagaimana kaedah pelaksanaannya serta di mana pula penjimatan wang sebanyak RM4 bilion setahun akan dibelanjakan. Apa yang diharapkan, melalui langkah berani kerajaan ini wujudnya mekanisme yang lebih telus yang dapat mengurangkan masalah ketirisan dan pengeksploitasian bantuan yang merugikan rakyat dan negara.
Kita juga berharap inisiatif meningkatkan gaji rakyat akan turut memberikan impak langsung terhadap agenda peningkatan kesejahteraan rakyat. Kerajaan telah pun mengumumkan berita gembira untuk seluruh warga penjawat awam apabila bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember depan.
Kini tiba pula giliran pekerja swasta melalui Dasar Gaji Progresif yang menyasarkan peningkatan gaji dan pengagihan pendapatan lebih seimbang yang dilaporkan akan mula dilaksanakan sebagai projek rintis Jun depan, dengan pembabitan 1,000 syarikat meliputi lima sektor dikenal pasti.
Lima sektor itu membabitkan pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi, serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, penilaian projek rintis akan dilaksanakan pada September ini bagi memastikan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh dilaksanakan kepada semua majikan mencakupi semua sektor ekonomi di negara ini.
Dasar Gaji Progresif adalah inisiatif kerajaan dalam memastikan gaji rakyat berada pada paras yang tinggi dan bersesuaian selari dengan peningkatan produktiviti, selain tumpuan untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.
Pelaksanaan dasar ini dijangka akan memberi manfaat langsung kepada golongan pekerja peringkat permulaan dan pekerja bukan peringkat permulaan dari pelbagai sektor yang bergaji antara RM1,500 dan RM4,999 sebulan.
Bagi majikan pula, pelaksanaan dasar ini membolehkan mereka mendapat tenaga kerja berkemahiran tinggi yang boleh memberikan sumbangan signifikan terhadap peningkatan produktiviti, daya saing dan pendapatan organisasi.
Buat masa sekarang penguatkuasaan dasar ini adalah bersifat sukarela di mana syarikat yang berminat boleh mendaftar secara sukarela untuk terlibat dan kerajaan akan memberikan insentif yang bersesuaian sebagai sokongan dan bantuan kepada syarikat terbabit.
Besarlah harapan kita agar lebih ramai majikan akan tampil berdaftar supaya dapat menyumbang kepada peningkatan gaji rakyat selain menikmati insentif disediakan kerajaan. Ini tanggungjawab moral setiap majikan kepada rakyat dan negara.
Kita juga berharap agar penjawat awam akan terus menyokong agenda kerajaan untuk menangani masalah kelemahan tatakelola, tadbir urus dan rasuah sistematik yang membelenggu negara sehingga mencetuskan ketirisan wang negara yang serius.
Sudah tiba masanya penjawat awam mencegah dan membanteras segala jenis amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Misalnya, kita perlu sokong sepenuhnya inisiatif kerajaan yang mahu menoktahkan amalan runding terus dalam perolehan kerajaan yang dilihat banyak membawa kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Selepas 18 bulan mengetuai Kerajaan Perpaduan, Anwar dilihat semakin agresif dan ligat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengangkat martabat negara melalui pelbagai perancangan, inisiatif serta hala tuju yang jelas, teratur dan sistematik.
Justeru, semua pihak perlu menyokong penuh agenda yang dibawa oleh kerajaan supaya dapat membina sebuah negara Madani berpendapatan tinggi yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).


































