PETALING JAYA: Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib meminta kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya untuk menganjurkan Sukan SEA 2027.
Menurut Utusan Malaysia, Nazifuddin berkata, berdasarkan rekod Malaysia tidak pernah menolak daripada menganjurkan temasya dwitahunan itu dan sekiranya kerajaan menolak kemungkinan reputasi negara bakal terjejas.
“Berdasarkan sejarah, kita tidak pernah menolak daripada menganjurkan Sukan SEA, jika kerajaan menolaknya ia akan ditawarkan kepada negara lain.
“Ada negara yang menolaknya dan biasanya negara kecil yang tidak mempunyai cara. Jadi, tidak munasabah untuk kita menolaknya kerana ia akan memberi gambaran buruk kepada negara lain,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan masih belum belum ada sebarang keputusan muktamad sama ada Malaysia bakal menganjurkan Sukan SEA 2027 kerana ia akan diputuskan oleh Kabinet.
Hannah turut memberitahu sebanyak sekurang-kurangnya RM700 juta diperlukan sebagai perbelanjaan bagi menganjurkan temasya dwi tahunan itu.
Mengulas mengenai kos tersebut, Nazifuddin berkata, jumlah tersebut sudah pun dijangka, namun ia bergantung kepada bilangan sukan yang dipertandingkan, venue dan penginapan atlet.
Sebelum ini, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersetuju menyerahkan hak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Malaysia selepas Brunei menarik diri manakala Thailand dan Singapura masing-masing akan menganjurkannya pada 2025 dan 2029.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu buat kali ketujuh jika menganjurkannya pada 2027 selepas menjadi hos bagi edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.


































