Pep Guardiola mengucup trofi Liga Perdana Inggeris selepas aksi terakhir menentang West Ham di Stadium Etihad, semalam.
MANCHESTER: Pep Guardiola memberi isyarat akan meninggalkan Manchester City selepas membawa pasukannya memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut.
Menurut Utusan Malaysia, Guardiola berkata, ketika ini beliau dan kelab masih berunding mengenai tawaran baharu susulan kontraknya bersama City akan tamat tahun depan.
“Realitinya saya lebih hampir kepada meninggalkan kelab berbanding kekal di sini. Kami berbincang dengan kelab buat masa sekarang saya mahu kekal di sini.
“Saya akan terus bersama pasukan musim depan dan ketika itu kami akan berunding lagi. Tetapi lapan atau sembilan tahun kita lihat nanti,” kata Guardiola yang membimbing kelab itu sejak tahun 2016 dan telah merangkul 18 piala.
Kata pengendali dari Sepanyol itu, beliau berasa keletihan selepas berusaha keras merebut gelaran keenam dalam tempoh tujuh tahun bersama City.
Bagaimanapun, Guardiola akan memastikan satu lagi trofi dibawa pulang ke Etihad apabila menentang Manchester United pada perlawanan akhir Piala FA hujung minggu depan.
Jelas Guardiola, pencapaiannya dianggap masih jauh berbanding apa yang pernah dilakukan Alex Ferguson bersama Manchester United.
Dalam pada itu, pengendali berusia 53 tahun itu turut memuji pesaing-pesaingnya iaitu pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan bos Liverpool, Jurgen Klopp yang memberi tentangan sengit kepada City.
“Kami bersaing dengan hebat sekali lagi dan akhirnya, dengan jurang kecil, kami memenanginya. Kami melakukan sesuatu yang menakjubkan.
“Jika saya baru tiba di sini esok dan orang mengatakan yang dalam tempoh tujuh tahun saya akan memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, saya akan katakan ‘adakah anda gila?’
“Ini adalah Liga Perdana Inggeris, yang paling sukar. Ia paling sukar kerana banyak faktor, tempoh rehat yang pendek,” ujarnya.
Guardiola juga mengucapkan selamat tinggal kepada Klopp, yang membimbing Liverpool buat kali terakhir semalam.
“Saya akan merinduinya kerana dia sangat penting dalam hidup saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih di atas usahanya.
“Dia membantu saya dengan pasukan ini. Dia pesaing yang utama dalam hidup saya, dengannya ia amat sukar,” tambahnya.
Guardiola turut memberi amaran kepada Man City yang Arteta, bekas penolongnya di Etihad, akan menjadi pesaing utama kejuaraan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
































