Saifuddin Nasution Ismail bersama Steven Sim ketika mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya, kelmarin.
PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka melengkapkan kuota guna tenaga pekerja asing menjelang akhir tahun ini iaitu pada kadar tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga di negara ini.
Berdasarkan kuota ditetapkan itu, jumlah pekerja asing di negara ini dijangka mencecah 2.56 juta orang pada akhir tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, jumlah guna tenaga di negara ini mencecah 17.1 juta pekerja.
Beliau berkata, jumlah itu meliputi pekerja asing sedia ada di negara ini, jumlah pekerja yang sudah diluluskan kuota dan pekerja asing daripada program rekalibrasi 2.0.
“Kesemua jumlah pekerja asing itu diunjurkan dapat dicapai pada 31 Disember depan selaras dengan kuota ditetapkan Kementerian Ekonomi.
“Malah, jumlah pekerja itu juga melebihi unjuran ditetapkan dimana ada lebihan kira-kira 20,000 pekerja,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing, di sini kelmarin.
Katanya, kuota atau siling 15 peratus pekerja asing itu digunakan Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing bagi memandu pengurusan asing di negara ini.
Saifuddin berkata, mesyuarat kelmarin juga memperakui pembekuan pekerja asing di negara ini dan setuju polisi pembekuan itu diteruskan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mesyuarat juga bersetuju penggajian kali pertama tekong warga asing dibenarkan melebihi usia 60 tahun bermula tahun ini.
Katanya, sebelum ini, kerajaan menetapkan pengambilan tekong dan nelayan warga asing sehingga umur 45 tahun namun, pihaknya mendapati pengalaman tekong ini amat bernilai dan berharga.


































