Seorang lelaki (dalam bulatan merah) memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah di Tanah Merah, Jitra malam tadi.
KUBANG PASU: Seorang lelaki yang menggemparkan penduduk Kampung Muhibbah di Tanah Merah, di sini apabila secara tiba-tiba memanjat pencawang elektrik bervoltan tinggi, akhirnya berjaya dipujuk untuk turun.
Lelaki berusia 30-an itu berada hampir dua jam di atas pencawang berketinggian kira-kira 25 meter setelah pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.17 petang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, lelaki itu berjaya dibawa turun pada pukul 8.43 malam dengan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP).
“Setelah dipujuk, dia berjaya dibawa turun dengan selamat dan pada masa sama, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipanggil bagi memutuskan bekalan elektrik di pencawang tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Tambahnya, bomba berdepan kesukaran untuk menyelamatkan lelaki itu disebabkan arus voltan elektrik tinggi yang boleh mengakibatkan perkara tidak diingini.
“Lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, seorang individu di lokasi kejadian memberitahu, dia pada mulanya tidak perasan kelibat lelaki tersebut di atas pencawang berkenaan kerana kedudukannya yang tinggi.
“Ketika melalui kawasan ini petang tadi, saya langsung tak perasan apa yang berlaku. Melihat beberapa orang mendongak ke langit, baru saya turut memandang ke atas.
“Kemudian saya perasan ada lelaki telah memanjat pencawang dan duduk di tempat yang bahaya. Semakin lama, semakin ramai orang yang hadir melihat kejadian itu sebelum bomba membawanya turun,” katanya.





























