KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 59 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Perak kerana melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh celah paha kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin memutuskan hukuman itu terhadap Mohd. Ali Hassan selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah pada akhir kesnya.
Mahkamah ketika mengumumkan keputusan pada 26 April lalu turut mengarahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan diawasi polis selama setahun selepas keluar penjara.
“Mahkamah sedar hukuman tiga tahun penjara dan tanpa sebatan adalah hukuman ringan bagi kes yang sudah melalui perbicaraan penuh. Bagaimanapun, mahkamah berpendapat hukuman perlu bersifat realistik terhadap tertuduh dengan mengambil kira sabitan lampau, jenis jenayah, umur serta faktor kesihatan.
“Tertuduh berusia 59 tahun ketika dihukum. Dia sudah uzur, tiada rekod lampau dan amang seksual dilakukan walaupun serius, namun hanya membabitkan sentuhan tanpa aksi jelik lain.
“Mangsa yang juga saksi pendakwaan kedua tiada hubungan dengan tertuduh dan tidak melalui proses sexual grooming,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 17 Mei lalu yang diperolehi pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Ali didakwa melakukan amang seksual fizikal di luar rumahnya di Sungai Manik, Langkap, Perak, pada pukul 3.30 petang, 21 Oktober 2022. Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Naratif kes pendakwaan menyatakan, semasa kejadian ketika sedang bermain berseorang berhampiran rumah tertuduh, lelaki itu melambai menyebabkan mangsa menghampirinya.
Lelaki tersebut tiba-tiba mengangkatnya dan meletakkan mangsa di atas pangkin (tempat duduk di luar rumah) dan cuba membuka skrit yang dipakai sambil memegang celah paha mangsa.
“Mangsa mengakui tidak melawan tetapi ada menjerit, ‘Tak nak! Tak nak!’ Disebabkan jeritan itu, tertuduh melepaskan mangsa menyebabkan kanak-kanak itu meloloskan diri dan berlari ke rumah rakannya dan menceritakannya kepada ibu rakan tersebut,” demikian menurut naratif berkenaan.
Dalam penghakimannya, mahkamah berpendapat, mangsa merupakan saksi berwibawa kerana kanak-kanak itu faham kehendak soalan dan dapat menjawab dengan jelas dan konsisten meskipun dia agak malu-malu pada mulanya selain berpuas hati, mangsa dapat mengecam tertuduh tanpa rasa gentar ketika perbicaraan.
Intan Nurul Farena berpendirian, paha adalah bahagian badan sulit manusia berdekatan kemaluan dan sentuhan di bahagian itu adalah untuk tujuan seksual.
“Apatah lagi ia dilakukan ketika tiada orang lain di kawasan berkenaan walaupun ia kawasan terbuka. Secara logiknya, tertuduh tidak akan melakukan perbuatan sedemikian jika mangsa ditemani orang lain waktu itu,” katanya.
Bagaimana, Mohd. Ali ketika membela diri mendakwa tidak sengaja memegang paha mangsa namun menafikan mempunyai niat jahat untuk melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.
“Kawasan tempat mangsa bermain adalah tempat terbuka dan tempat orang ramai lalu lalang. Saya tidak sengaja menyentuh budak itu, saya gurau-gurau dengan dia. Takkan saya nak buat tak betul di tempat terbuka,” ujarnya.































