Armizan Mohd. Ali
PETALING JAYA: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memperluas pelaksanaan Fasa 2 kepada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang melibatkan tambahan 14 jenis kenderaan barangan lain.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat pengangkutan yang terlibat bagi kesemua 14 jenis kenderaan barangan tambahan itu boleh membuat permohonan melalui Sistem MySubsidi Diesel bermula Isnin, 13 Mei 2024 pada pukul 10 pagi.
“Setelah proses pengintegrasian data bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan proses pendaftaran permohonan SKDS 2.0 Fasa 1 berjalan dengan lancar, kerajaan telah bersetuju untuk memperluas pelaksanaan Fasa Dua kepada SKDS 2.0.
“Pertambahan dalam fasa dua ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak untuk mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 adalah sebanyak 23 jenis kenderaan barangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, SKDS 1.0 beserta fleet card yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat minyak melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam merangkumi Bas Sekolah, Kereta Sewa, Bas Ekspres, Teksi, Bas Henti-Henti, Van/Lori Mayat, Bas Pengantara, Ambulans, Bas Mini dan Bomba.
Kemudian, ia diperluaskan melalui SKDS 2.0 Fasa 1 meliputi tambahan kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan melibatkan Lori Rigid (Kargo Am), Lori Rigid (Refrigerated), Penggerak Utama, Lori Rigid (Tangki Tepung), Lori Rigid (Luton/Kotak), Window Van, Lori Rigid (Tangki Air), Panel Van, dan Lori Rigid (Minuman Botol).
Manakala 14 jenis kenderaan pengangkutan baharu bagi SKDS 2.0 Fasa 2 adalah Lori Rigid (Curtainsider), Lori Food Catering, Lori Rigid (Hasil Pertanian), Lori Tangki Rigid (Minuman), Lori Rigid (Kandang Haiwan), Semi (Panel Van), Lori Rigid (Kombinasi), Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid (Open Platform), Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Lori Rigid (Perkhidmatan Bergerak), Van Food Catering dan Lori Rigid (Sampah).
Tambah Armizan, pendaftaran bagi 14 jenis kenderaan barangan baharu itu boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.
“Kriteria permohonan yang perlu dipenuhi oleh syarikat adalah syarikat hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia, kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah dan berkuat kuasa dan kenderaan yang layak di bawah SKDS 2.0 sahaja.
“Pada masa sama, KPDN masih dan akan terus membuka permohonan kepada kesemua jenis pengangkutan yang tersenarai dalam pelaksanaan SKDS 1.0 dan kedua-dua fasa dalam SKDS 2.0.
“Syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan di bawah SKDS juga dinasihati untuk terus membuat permohonan fleet card melalui syarikat-syarikat minyak pilihan yang tersenarai,” katanya.
































