JEMPOL: Hasrat seorang ejen insurans untuk memiliki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima lebur apabila dia terperdaya jualan palsu menerusi Facebook bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun membuat laporan di Balai Polis Bahau, malam tadi, selepas berasa dirinya tertipu dan mengalami kerugian sebanyak lebih RM40,000.
“Berdasarkan siasatan pada 25 April lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari, semasa berada di rumah, mangsa telah berurusan secara talian aplikasi WhatsApp bernombor 011-20676847 atas nama Mr. Eric 001 dari Syarikat Asia Auto Fo Private Company untuk pembelian kereta yang diiklankan dalam Facebook.
“Mangsa telah bersetuju untuk membeli kereta jenis Toyota Estima dengan harga sebanyak RM62,500. Bermula 2 Mei hingga 8 Mei lalu, mangsa telah membuat bayaran sebanyak lebih RM40,000 melalui 16 transaksi ke lapan akaun yang berlainan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, pada 9 Mei lalu, wakil syarikat berkenaan telah meminta mangsa untuk membuat pembayaran yuran peguam sebanyak RM6,000 tetapi mangsa tidak bersetuju dan sehingga kini mangsa dipaksa menjelaskan bayaran tersebut.
“Bagaimanapun, pagi semalam, mangsa telah mendapat pesanan ugutan suara daripada seorang lelaki melalui talian aplikasi WhatsApp yang mahu mengancam keselamatan keluarga mangsa selain mengugut mahu menularkan maklumat mangsa serta isteri di dalam media sosial.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.






























