KUALA PENYU: Patricia John yang mewakili UPKO Bahagian Papar dinobatkan Unduk Ngadau Kaamatan UPKO 2024, menewaskan 17 peserta lain pada peringkat akhir Pertandingan Unduk Ngadau sambutan Kaamatan UPKO, di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.
Dengan kemenangan itu, beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta tropi, jambangan bunga dan hadiah-hadiah iringan.
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Marylyn Bundoi, mewakili UPKO Bahagian Kota Kinabalu dan tempat ketiga oleh Alstenety Shane Japrin mewakili UPKO Bahagian keningau.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan RM2,000 berserta hadiah-hadiah iringan.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Datin Connie Parantis, isteri kepada Presiden UPKO yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Datin Angie Elon isteri Datuk Nelson Angang, Pengerusi Penganjur.

Pesta Kaamatan UPKO 2024 dirasmikan oleh Ewon yang menyeru masyarakat negeri ini khususnya Kadazandusun yang mempunyai sumber tanah yang luas supaya mengusahakan tanah-tanah terbiar mereka untuk pertanian.
Beliau berkata, kerajaan melalui kementeriannya menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan bantuan kepada usahawan atau koperasi yang berminat mengembangkan perniagaan atau perusahaan dalam sektor makanan.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensi di bawah kementerian ini menyediakan pelbagai skim dan bantuan yang bersesuaian.
“Contohnya di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pembiayaan Tabung Modal Pusingan sehingga RM100,000 disediakan kepada sesebuah koperasi yang terlibat dalam sektor agro makanan seperti pertanian, perikanan dan penternakan.
“Begitu juga dengan agensi-agensi lain seperti SME Bank, Bank Rakyat dan Tekun Nasional yang juga mempunyai skim-skim pembiayaan yang ada kaitan dengan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam sektor makanan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan tersebut, Ewon berharap rakyat Sabah merebut peluang yang ada dan mengambil bahagian dalam gerakan keusahawan dan koperasi supaya Kaamatan ini tidak hanya setakat sambutan kebudayaan tetapi sebagai mesej pembudayaan keusahawanan dan koperasi.
“Krisis keterjaminan makanan harus menjadi peringatan kita semua dan harus dikembangkan sebagai satu peluang dalam keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, ini juga selaras dengan tema Sambutan Pesta Kaamatan tahun ini “Kaamatan Melangkau Keterjaminan makanan” menerusi pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Mesej yang kita mahu terapkan kepada masyarakat sempena sambutan Pesta Kaamatan ialah, Sabah kaya dengan sumber asli dan selayaknya, kita bangunkan sumber asli seperti tanah untuk tanaman pertanian atau penternakan.
“Ini kerana Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan. Kita seharusnya memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada di negara kita bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import makanan.
“Sebab itu saya menyokong mesej tema Pesta Kaamatan pada tahun ini supaya rakyat terutamanya masyarakat Kadazandusun mempunyai tanah membangunkan tanah sama ada secara individu atau melalui koperasi,” katanya.






























