BUTTERWORTH : Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menempelak laporan negatif yang disiarkan oleh media asing terhadap Malaysia termasuk mengenai isu pengurangan atau penarikan subsidi bahan api seperti petrol dan diesel.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, hal ini demikian berlaku disebabkan pendirian tegas Malaysia terhadap isu-isu politik semasa di peringkat antarabangsa hingga memungkinkan negara ‘diserang’.
“Umpamanya (isu) kasino. Tidak pernah dibincangkan, tidak pernah sampai pada maklumat saya, tapi, ia dijadikan isu yang panas.
“Kemudian pula isu penarikan (dan pengurangan) subsidi ini. Walaupun ada perbincangan awal, tidak ada keputusan muktamad mengenai tarikh pelaksanaannya kerana kaedah itu harus diterangkan supaya tidak membebankan rakyat.
“Apa prinsipnya? Prinsipnya apa sahaja penyasaran subsidi bagi saya tidak akan membebankan rakyat. Jadi, apabila media-media asing ini memainkan isu ini (subsidi), ia akan dimanfaatkan pula oleh puak pembangkang.
“Seolah pembangkang ini kiblat dia ialah media asing. Jadi, dia tidak fikir fakta. Sebab itulah (kena) tengok fakta,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama pemimpin masyarakat di sebuah hotel di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Semalam, terdapat laporan media asing yang mengatakan bahawa Malaysia mungkin mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini iaitu satu pembaharuan ekonomi bagi menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
Media terbabit yang memetik sumber rasmi dan industri berkata, harga diesel akan diapung mengikut kadar pasaran semasa disusuli kenaikan berperingkat harga petrol dalam kadar runcit selepas ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, etika pelaporan berita seharuskan dibuat berdasarkan fakta dan bukannya berlandaskan maklumat yang diterima daripada sumber semata-mata.
“Saya nampak perkara ini berlarutan dan saya rasa kita terima prinsip kebebasan tetapi ada etika berdasarkan fakta.
“Dalam hal ini juga, jemaah menteri belum membuat sebarang keputusan muktamad. Jadi bagaimana boleh kita pastikan sekian dan sekian yang tidak sihat. Kerana kalau kita nak laksanakan, saya beritahu dia tidak akan membebankan rakyat, maknanya seperti elektrik.
“Tak ada sumber mana. Sumber-sumber yang boleh dipercayai. Jadi kena rujuk dasar. Mana boleh sumber kalau kerajaan nak umum. Kita bagi tahu, kita bagi notis, bukan nak rahsia,” ujarnya.