Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia terima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak tetapi beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sentimen isu raja, agama dan kaum (3R).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna bebas untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati.
“Raja-raja Melayu secara konsensus meminta supaya kerajaan lebih tegas menghalang isu berkenaan, ini kerana mereka berasa tidak adil diserang tetapi tidak boleh menjawab,” katanya dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam Rabu.
Beliau kecewa kerana ada pihak yang bercakap tentang mahu mempertahankan Melayu, parti pun parti Melayu, tetapi pada masa sama memaki raja-raja Melayu.
“Saya tidak akan bertolak ansur (bagi yang) langgar peraturan ini, polis akan bertindak tegas dan saya minta peguam negara kaji dan bawa mereka ke mahkamah biar mahkamah putuskan,” katanya.
Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak-pihak yang menyentuh institusi raja-raja, sebagai contoh dakwaan penglibatan raja dalam penubuhan kasino.
Terdahulu, Anwar ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 pada Rabu menegaskan, mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu diambil tindakan undang-undang.
MODAL
Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City.
Perdana Menteri menegaskan, perkara itu langsung tidak pernah didengar dan diusulkan sesiapa termasuk dimaklumkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan pusat perjudian di sana.
“Jadi ini dari mana (tohmahan)? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini sebenarnya perlu ganti ‘bilik-bilik’ (penjara) saya di Sungai Buloh.
“Kritik tidak mengapa, kamu kritik Perdana Menteri tidak mengapa sebab saya boleh jawab, ini kamu kritik raja-raja yang kita sanjung dan muliakan dan ada dalam Perlembagaan,” katanya.
Anwar berkata, institusi raja di negara ini tidak boleh dijadikan seperti orang politik yang boleh ‘diserang’ sesuka hati.
Ini kerana, katanya, ada budaya Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan, ada siri, cara dan kaedah yang perlu dihormati.
LESEN
Sebelum ini, Anwar menafikan bahawa kerajaan mengeluarkan sebarang lesen untuk menubuhkan kasino di Forest City susulan laporan media antarabangsa, Bloomberg yang mendedahkan bahawa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) adalah tidak benar.
Malah, Berjaya dan Genting Malaysia turut menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City dalam laman sosial Facebook miliknya, Jumaat lalu.
Tuduhan tersebut merupakan yang ketiga dihadapinya selepas didakwa atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rabu.
Seorang lagi aktivis politik, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris pada Rabu direman atas kenyataan yang turut didakwa mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.