Lee Zii Jia akan menjalani latihan berasingan dengan pemain Malaysia yang lain.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan menyertai kem latihan pusat badminton negara menjelang saingan Piala Thomas 2024 hujung bulan ini.
Kem latihan terbabit akan berjalan selama satu minggu bermula esok di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan Team LZJ menerusi laman sosial X, memaklumkan program latihan bebas daripada kem kebangsaan dibincangkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan akhirnya mendapat persetujuan sepakat bersama pengarah kejurulatihan ABM Rexy Mainaky dan pengarah pentadbiran BAM, Michelle Chai.
Program latihan berkenaan dirangkum oleh pengarah kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng bagi mempersiapkan pemain nombor 11 dunia itu ke temasya dua tahun sekali itu.
“Kami berterima kasih kepada BAM, Rexy dan juga Michelle atas persefahaman dan kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menguruskan latihan dalam jadual yang ketat menjelang di Paris nanti.
“Semestinya Zii Jia tidak sabar dan semakin teruja untuk bersama pasukan kebangsaan bermula 24 April depan,” katanya dalam kenyataan.
Selain Zii Jia, BAM turut menyenaraikan empat pemain perseorangan yang lain menerusi Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala acara beregu diketuai oleh juara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri.
Dalam pada itu, Rexy turut berkata beliau sudah cakna akan perancangan Zii Jia ini ketika pertemuan bersama Tat Meng dan kakak merangkap pengurusnya, Lee Zii Yii minggu lalu.
“Tat Meng dan Zii Yii maklum kepada saya hanya ada seminggu untuk lakukan persiapan selepas pulang Kejohanan Badminton Asia (BAC), jadi saya cuba fikir positif dengan situasi ini.
“Kita harus fikir bagaimana untuk menyelesaikan ini kerana Piala Thomas sebelum ini tidak berdekatan dengan Olimpik, jadi saya kena faham komitmen mereka untuk bermain.
Barisan kejurulatihan yang mempunyai kad akreditasi ke saingan Piala Thomas 2024 hanya Datuk Tey Seu Bock iaitu jurulatih perseorangan lelaki negara dan Tat Meng.
Rexy turut mendedahkan pemain profesional wanita negara, Goh Jin Wei akan menyertai program latihan yang dirangkum BAM sebagai persiapan Piala Uber 2024 namun tidak disahkan tarikh sebenar beliau hadir menjalani latihan.
































