Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kenyataan Norfaizah Chua, Ketua Wanita WARISAN bahawa kononnya rakyat Sabah akan memberikan sokongan kepada Parti WARISAM pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), hanya sekadar menyedapkan hati mereka sendiri kerana tiada asas bahawa rakyat akan memberi sokongan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasam Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sepatutnya Norfaizah bercermin muka dahulu sebelum membuat kenyataan sedemikian kerana WARISAN adalah parti yang telah ditolak rakyat pada PRN tahun 2020.
WARISAN itu juga dihukum oleh rakyat sekali lagi pada PRU15 apabila hanya dapat mempertahankan tiga kerusi Parlimen daripada lapan yang telah dimenangi pada PRU14, termasuk kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda Parti itu.
“Betul, WARISAN pernah menjadi Kerajaan Negeri selepas PRN tahun 2018 disebabkan oleh lompatan beberapa wakil rakyat BN ketika itu, walaupun WARISAN tidak memenangi PRN, tetapi boleh dikatakan WARISAN menjadi kerajaan hanya sebagai rekod, kerana tiada tanda-tanda atau kesan positif yang boleh diingati rakyat kecuali gaya hidup para pemimpin parti itu yang berubah, sedangkan rakyat tidak mendapat apa-apa pembelaan.
“WARISAN tidak mempunyai hala tuju selain hanya pandai bercakap kosong, bermain politik yang tidak matang, dan mendendangkan isu-isu yang mereka sendiri gagal untuk menyelesaikannya.
“Dengan sikap pemimpin seperti ini, rakyat Sabah pasti akan menolak WARISAN pada PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkaitan PRN17 Sabah akan diadakan sehingga tamat penggal adalah satu pengesahan bahawa setiap pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu melaksanakan semua perancangan dan merealisasikannya untuk dirasai rakyat, kerana sememangnya KPI sesebuah kerajaan untuk berjaya mencapai apa yang telah dirancang dan dibuat untuk kepentingan rakyat yang telah memberi mandat.
“Kerajaan GRS-PH Plus pimpinan Datuk Seri Hajiji mempunyai hala tuju yang jelas, di mana setiap yang dimulakan mesti berakhir dengan hasil, bukannya seperti pemimpin WARISAN yang hanya gempak seperti tin kosong.
“Data tidak pernah berbohong dalam tiga tahun pemerintahan Datuk Seri Hajiji bersama Kabinet dan pemimpin kerajaan, kutipan hasil negeri terus mencatatkan rekod melepasi angka RM5 bilion, malah untuk tahun 2022 dan 2023 hampir mencecah RM7 bilion, suatu rekod yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
“Para pemimpin WARISAN sangat bimbang apabila semakin banyak projek-projek kerajaan untuk kepentingan rakyat direalisasikan, maka semakin hanyutlah mereka dan mungkin terkubur selama-lamanya.
“Cerita rekaan pemimpin WARISAN yang disampaikan oleh cybertrooper upahan mereka memakan diri sendiri, kerana semakin hari terdedah bahawa apa yang mereka war-warkan hanya cerita bohong dan fitnah.
“Tidak sedarkah Ketua Wanita WARISAN ini bahawa semakin hari parti itu kehilangan keahlian termasuk pemimpin. Maka parti yang telah ditolak oleh ahli dan pemimpin sendiri takkan pula disokong oleh rakyat,” katanya.
































