SRI AMAN: Polis sedang menjejaki seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki terbabit dalam kes serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.43 petang, 10 April lalu.
“Kejadian berlaku di kawasan tanah perkuburan lama di Kampung Kubal di Betong.
“Berdasarkan latar belakang, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Tambah Mathew, susulan daripada kejadian berkenaan, suspek melarikan diri dari tempat kejadian.
“Kami (pihak polis) sedang giat mengesan untuk menangkap suspek yang kini dalam senarai dikehendaki polis,” jelasnya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Justeru, Mathew meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes dan keberadaan suspek supaya menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjen Suzy Andrew Baie di talian 011-14037375 atau datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
































