Declan Rice dan rakan sepasukan, Kai Havertz menjalani latihan menjelang pertemuan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Bayern, esok.
LONDON: Arsenal kembali ke padang dalam aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich ketika kemampuan pasukan itu menjadi persoalan selepas kekalahan mengejut kepada Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu.
Tewas 2-0 Ahad lalui mencemar rekod bersih pasukan bimbingan Mikel Arteta sehingga membenarkan pesaing terdekat Manchester City memintas kedudukan tangga teratas.
Kecundang di Emirates buat pertama kali musim ini menjejaskan peluang menjadi juara dan pengalaman itu turut dikongsi Liverpool yang menerima nasib sama tewas 1-0 kepada Crystal Palace sekali gus memberi kelebihan kepada City pada musim ini.
Menurut Utusan Malaysia, Arsenal yang tidak pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara akan bertandang ke Bayern esok, mengubati luka di Liga Perdana dengan harapan mara ke aksi separuh akhir sejak 2009.
Dalam pertemuan pertama di Emirates, kedua-dua pasukan seri 2-2.
Arteta yang lebih suka pasukannya turun selaku underdog menentang juara enam kali Liga Juara-Juara itu mungkin memiliki sedikit kelebihan selepas rekod 11 tahun kemenangan Bayern lebur berikutan kemenangan Bayer Leverkusen selaku juara baharu.
Tonggak tengah Arsenal, Declan Rice yang banyak memainkan peranan kejayaan pasukannya musim ini percaya perlawanan berprofil tinggi menentang Bayern akan memberi peluang kepada Gunners membuktikan kemampuan mereka.
“Ini merupakan masa terbaik untuk beraksi. Sudah tiba masanya kami mempamerkan karakter sebenar dan kepemimpinan. Harapan kami dapat mara ke separuh akhir,” kata Declan yang juga bekas pemain West Ham.
Sementara itu, Arteta mahu pemain Arsenal percaya kepada kemampuan sendiri dan berusaha bersungguh-sungguh sekiranya mahu menjadi juara kerana inilah masanya untuk mereka berbuat demikian.































