PETALING JAYA: Siasatan polis terhadap lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjurus kepada bagaimana senjata itu diperoleh.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, polis mahu mengetahui bagaimana Hafizul Hawari, mendapatkan pistol jenis Glock 19 Austria bersama 32 peluru.
“Siasatan terhadap lelaki itu baru bermula jadi masih terlalu awal kita membuat rumusan bagaimana senjata itu diperoleh memandangkan keterangan dia boleh berubah,” katanya.
Menurut beliau, keterangan 15 saksi termasuk isteri dan pegawal peribadi yang tidak cedera telah diambil bagi membantu siasatan di pintu masuk antarabangsa negara.
“Selain, keterangan anggota polis kita juga mengambil keterangan petugas keselamatan lapangan terbang, saksi awam yang terkena mercun, doktor yang merawat pengawal keselamatan, ahli keluarga dan pekerja syarikat isteri Hafizul.
“Kita juga ada menahan seorang lagi lelaki lain pada 15 April lalu namun dibebaskan keesokannya bagi membantu siasatan menjejak keberadaan Hafizul,” jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Hafizul dipercayai mendapat senjata api berkenaan secara haram dari negara jiran.
Hafizul yang ditahan di hadapan sebuah hospital swasta kelmarin didakwa mahu melarikan diri ke Mekah melalui Thailand.
Dia kemudian direman tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan memberitahu media mahu memohon tujuh peguam untuk mewakilinya.
































