PETALING JAYA: Kematian anak perempuan Ketua Polis Daerah Lahad Datu yang maut tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Datuk Shahurinain Jais ketika dihubungi berkata, seramai tiga saksi termasuk ahli keluarga mangsa telah diambil keterangan setakat ini.
Menurut beliau, sepucuk pistol Walther P99 milik pegawai kanan berkenaan turut dirampas bagi siasatan lanjut.
“Kita (polis) masih menjalankan siasatan sama ada remaja berkenaan berniat membunuh diri atau berlaku kecuaian dalam mengendalikan senjata api berkenaan,” katanya secara ringkas.
Kata beliau, proses bedah siasat masih berjalan bagi mengetahui punca kematian.
Terdahulu, mangsa berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya, pada 12.42 tengah hari malam kelmarin.
Difahamkan, ketika kejadian Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail tiada di rumah.
Pistol miliknya dikatakan tertinggal di rumah dan anaknya dipercayai memegang senjata api itu sebelum secara tidak sengaja tertembak dirinya sendiri.
































