Kawasan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu diletakkan pengimbas senjata bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu mempunyai sistem teknologi pengimbas di pintu masuk utama bagi memudahkan proses pengesanan barang terlarang yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
Langkah itu perlu ekoran insiden seorang lelaki melepaskan tembakan terhadap isterinya sehingga menyebabkan seorang pengawal peribadi yang berada di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kecederaan parah.
Menurut Utusan Malaysia, pakar kriminologi dan penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, sistem teknologi pengimbas di setiap pintu masuk utama perlu dilaksanakan bagi mengelakkan penggunaan senjata api di kawasan tumpuan orang awam.
“Dengan adanya sistem teknologi pengimbas di pintu masuk, anggota keselamatan dapat mengesan sekiranya terdapat individu yang cuba membawa masuk barang terlarang seperti senjata api dan bahan letupan.
“Hal ini kerana jika hendak dibandingkan dari aspek keselamatan dengan lapangan terbang antarabangsa negara lain, aspek keselamatan di KLIA memang agak lemah sehingga mengakibatkan suspek yang memiliki senjata api secara haram dapat melepaskan tembakan,” katanya.
Tambahnya, selepas insiden tembakan itu, kerajaan perlu mengkaji semula kekurangan dari aspek keselamatan dan perlu melakukan penambahbaikan termasuk meningkatkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) terutamanya di kawasan tempat letak kereta dan pintu masuk utama.
Selain itu, peningkatan anggota keselamatan untuk melakukan rondaan di seluruh kawasan KLIA serta memastikan teknologi pengecaman wajah di pintu masuk utama KLIA terus ditingkatkan untuk memastikan orang awam yang mencurigakan dapat dikesan dengan cepat.
“Keperluan untuk meningkatkan keselamatan dan kawalan di pintu masuk, terutama dengan memasang peranti seperti steel detector untuk mengesan benda berbahaya seperti pistol,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kawalan keselamatan di KLIA perlu ditingkatkan terutamanya pada bahagian ruang udara dan ruang darat.
“Pihak penguat kuasa yang menjaga kawasan sempadan juga perlu meningkatkan aktiviti risikan dan mengenal pasti kumpulan-kumpulan yang menyeludup senjata api secara haram.
“Perkara ini perlu dilaksanakan bagi membanteras penyeludupan senjata api di sempadan negara yang semakin berleluasa untuk mengelakkan insiden yang sama berulang kembali,” katanya.
Tambahnya, kejayaan pihak polis cawangan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) memberkas suspek yang terlibat dengan insiden tembakan di KLIA baru-baru ini juga menunjukkan kecekapan pegawai JSJ dalam risikan operasi mereka.
Ini akan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pihak polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan orang awam dan negara.
































