PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia menggunakan instrumen yang sedia ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan.
Menurut Utusan Malaysia, BNM menaklumkan terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan.
“Bank pusat memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan, termasuk ketua operasi perbendaharaan yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memantau rapat perkembangan terkini dan kesan peningkatan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah termasuk potensi konflik berkenaan terhadap impak ke atas ekonomi dan rakyat negara ini.
“Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kita juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah BNM, pihak operasi pasarannya akan memastikan mudah tunai yang memadai serta pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur, tegasnya.
“Hal ini disokong oleh inisiatif berterusan yang sedang dilaksanakan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pengeksport untuk terus membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya.


































