Bukan mudah untuk seorang penyanyi solo bersaing dan kekal relevan dalam industri hiburan di Korea Selatan jika mahu dibandingkan dengan kejayaan penyanyi berkumpulan. Namun begitu, IU atau nama sebenarnya Lee Ji Eun membuktikan sebaliknya.
Sehingga kini, IU, menjadi artis solo paling berpengaruh di negara itu dengan deretan album hit seperti Good Day, Palette, Blueming dan juga rilisan terbaharunya Love Wins All dari album The Winning.
Tidak hanya seorang penyanyi dan komposer, malah IU turut diiktiraf sebagai pelakon cemerlang khususnya penampilannya dalam drama My Mister dan Scarlet Heart Ryeo yang merangkul pelbagai anugerah seperti Pelakon Terbaik, Artis Tahunan Terbaik Televisyen di Anugerah Artis Asia.
Namun apa yang lebih mustahak sehingga membuatkan dirinya bertahan lama, sepanjang 16 tahun di dalam industri hiburan, IU tidak pernah terpalit dengan sebarang skandal dan juga kontroversi buruk membabitkan namanya.
Menurut Utusan Malaysia, kali terakhir artis kesayangan ramai itu melakukan konsert jelajah adalah pada tahun 2019 untuk konsert Love, Poem. Kini, artis tersebut sekali lagi mengumumkan siri jelajah dunia untuk konsert IU HER 2024.
Pelakon tersebut turut memasukkan Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi konsertnya bagi tahun ini yang bertempat di Axiata Arena pada 8 dan 9 Jun nanti. Kali ini, tiket konsert dijual bermula RM399 sehingga RM949.
Namun begitu, berlaku perdebatan hangat dalam kalangan Uaenas iaitu panggilan kepada kelab peminat IU di platform X yang rata-ratanya mempersoalkan harga tiket yang diberikan.
“Kita berbaik sangka sahaja mungkin mereka sediakan kusyen seperti di Korea Selatan,” kata seorang pengguna.
“Harga sangat mahal dan tidak berbaloi kerana mereka tak lebarkan pentas. Nak beli lightstick pun tak mampu,” tulis pengguna yang lain.
“Logik untuk harga sebegitu memandangkan IU seorang artis yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai penyanyi,” respons seorang pengguna.
Ketika perdebatan sedang hangat berlangsung, agensinya EDAM Entertainment mengumumkan tiket untuk kedua-dua hari tersebut telah pun habis selain mendedahkan laman sesawang sempat mengalami masalah teknikal akibat terlalu ramai peminat yang berebut membeli tiket.
“Kami menerima 820,000 pengguna yang berebut membeli tiket IU membuatkan laman sesawang mengalami sedikit masalah teknikal. Ini menunjukkan peminat IU di Malaysia sangat teruja untuk menonton persembahannya nanti,” tulis syarikat itu dalam satu kenyataan akhbar.
Selain Kuala Lumpur, tiket konsert IU juga laris terjual di kota lain seperti Seoul, Yokohama, Taipei, Jakarta, Singapura dan juga enam bandar di Amerika Utara.


































