SEOUL: Tiga wilayah tengah iaitu Gangwon, Chungcheong Selatan dan Gyeongsang Utara di Korea Selatan diselubungi jerebu sehingga pemandangan udara bertukar menjadi kekuningan.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Cuaca Korea Selatan mengeluarkan amaran berjaga-jaga bagi wilayah Gangwon dan Chungcheong Selatan setakat pukul 8 pagi, Jumaat.
Wilayah Gyeongsang Utara diletakkan di bawah tahap perhatian dalam sistem amarannya.
“Orang ramai yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular, warga emas dan kanak-kanak dinasihatkan tinggal di rumah.
“Amalkan penggunaan pelitup muka ketika keluar apabila tahap ketepuan habuk halus menjadi tinggi,” katanya.
Amaran debu kuning dikeluarkan apabila purata kepekatan setiap jam bahan zarah halus atau PM10 kekal melebihi 300 mikrogram selama lebih dua jam.
PM10 antara sifar dan 30 mikrogram dikategorikan sebagai baik, 31 dan 80 (biasa), 81 dan 150 (teruk) dan lebih 151 sebagai ‘sangat teruk’.


































