Keadaan Crocus City Hall yang musnah selepas insiden serangan pengganas minggu lalu.
MOSCOW: Sebanyak 95 orang dilaporkan masih hilang selepas insiden serangan pengganas di dewan konsert di Moscow.
Menurut Utusan Malaysia, sebuah akhbar Russia melaporkan, berdasarkan angka rasmi yang dikeluarkan kerajaan, tembakan rambang yang dilakukan kumpulan militan ISIS-K ke atas Crocus City Hall menyebabkan lebih 140 maut dan 182 lagi cedera.
Tetapi perkhidmatan berita Baza, yang mempunyai hubungan baik dengan penguatkuasaan undang-undang Russia melaporkan, 95 lagi nama mangsa muncul dalam senarai yang disusun oleh perkhidmatan kecemasan berdasarkan rayuan orang ramai tentang kehilangan ahli keluarga mereka.
“Senarai terbaharu mengandungi nama individu yang dikesan menghadiri konsert di dewan berkenaan tetapi sehingga kini gagal dihubungi saudara-mara mereka sejak serangan berlaku.
“Mereka ini tiada dalam senarai mangsa yang cedera atau maut. Kemungkinan juga mangsa meninggal dunia, tetapi belum dikenal pasti,” jelas laporan itu
Penyiasat Russia berkata, serangan itu dilakukan oleh empat penembak menggunakan senjata automatik Kalashnikov dengan lebih 500 butir peluru ditemui di tempat kejadian.
Insiden yang disifatkan antara serangan terburuk di Eropah itu berlaku sejurus sebelum kumpulan rock era Soviet Picnic dijadualkan membuat persembahan di dewan yang boleh menempatkan 6,200 orang itu.
Lapor Baza memetik sumber perkhidmatan kecemasan yang menyemak rakaman pengawasan, lebih 300 orang dipercayai berada di dalam bangunan dewan konsert berkenaan yang terbakar beberapa saat sebelum bumbungnya runtuh.
Saluran media sosial Russia kini dibanjiri dengan rayuan daripada waris untuk membantu mencari ahli keluarga mereka yang masih hilang ekoran insiden itu.
Ratusan warga net turut menyertai kumpulan sembang di saluran Telegram yang dipanggil ‘Pusat Bantuan Crocus’ dengan rakan dan saudara mara berkongsi nama penonton konsert yang hilang selain menawarkan sokongan kepada mangsa lain.
Media tempatan wilayah Bryansk melaporkan, seorang wanita masih mencari anaknya yang bertugas sebagai guru sekolah, Dmitry Bashlykov selepas rakan yang menemaninya ke konsert tersebut dilaporkan berjaya menyelamatkan diri.


































