Lembu tenusu di Texas dan Kansas diuji positif selesema burung.
AUSTIN: Lembu di beberapa ladang tenusu di Texas dan Kansas diuji positif jangkitan selesema burung dalam insiden penularan membimbangkan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lapor pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) memaklumkan sedang menyiasat jangkitan pada lembu tenusu terutamanya yang lebih tua di Texas, Kansas dan New Mexico selepas beberapa penternak melaporkan mengenai penyakit misteri yang menyerang haiwan itu.
Penyakit itu menyebabkan penurunan laktasi, kurang selera makan dan beberapa gejala lain yang menyebabkan lembu ternakan menjadi semakin lemah.
Setakat Isnin lalu, sampel susu yang dikutip daripada lembu sakit dari dua ladang tenusu di Kansas dan satu di Texas diuji positif selesema burung.
“Berdasarkan penemuan dari Texas, jangkitan itu mungkin dibawa oleh burung liar yang turut ditemui di ladang berkenaan dan ujian awal tidak mencadangkan risiko lebih tinggi kepada orang ramai,” kata badan itu.
Menurut USDA, Avian Influenza Patogen Tinggi (HPAI) tidak dikesan pada lembu daging tetapi badan itu menggesa semua penternak meningkatkan langkah biosekuriti yang lebih ketat di ladang bagi melindungi ternakan mereka.
Ahli Epidemiologi Universiti Texas, Gregory Gray berkata, perkembangan terbaharu itu amat membimbangkan kerana mungkin memberi isyarat selesema burung boleh berjangkit antara lembu.
“Kami amat khuatir dengan keadaan ini. Kami baru-baru ini melihat jangkitan pada kambing dan mendapati semakin banyak hidupan liar terjejas dengan selesema burung patogenik, termasuk jangkitan pelik melibatkan karnivor lain seperti beruang dan serigala.
“Kita perlu mengambil serius dan mengkaji perkara ini kerana jika virus itu terus berubah, ia boleh berpindah ke spesies lain dan memudaratkan manusia,” jelasnya.
Pegawai FDA berkata, susu daripada haiwan yang terjejas sudah dimusnahkan dan pempasteuran terbukti menyahaktifkan bakteria serta virus seperti influenza dalam produk tenusu.


































