Tiga anggota polis dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada pemandu lori kelapa sawit, tahun lalu.
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Mersing menahan tiga anggota polis kerana meminta dan menerima rasuah, November lalu.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 7 petang Rabu.
Difahamkan, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM7,800 daripada pemandu-pemandu lori kelapa sawit dan baja di sekitar Mersing.
Suapan itu diberikan sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai kelmarin.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Johor Bahru, Nurzihan Abdul Rehman.