Seorang wanita berkabung di sebuah tugu peringatan sementara di hadapan Dewan Bandaraya Crocus pada hari Sabtu, sehari selepas serangan senjata api di Krasnogorsk, di luar Moscow, mengorbankan sekurang-kurangnya 133 orang.
MOSCOW: Jumlah kematian akibat tembakan beramai-ramai di sebuah dewan konsert di pinggir Moscow petang Jumaat lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 133 orang.
Malah, sekurang-kurangnya 145 lagi dilaporkan cedera.
Menurut Utusan Malaysia, Jawatankuasa Siasatan Russia yang mendedahkan jumlah korban berkata, mereka menjangkakan jumlah mangsa akan terus meningkat.
Dalam pada itu, Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, Kremlin sudah menahan keempat-empat penyerang yang terlibat secara langsung dalam tembakan itu serta tujuh lagi yang disyaki mempunyai kaitan dengan serangan berkenaan.
“Semua pelaku, penganjur dan mereka yang mengarahkan jenayah ini akan dihukum secara adil dan tidak dapat dielakkan.
“Kami akan mengenal pasti dan menghukum semua orang yang berdiri di belakang pengganas yang menyediakan kekejaman ini, serangan terhadap Rusia ini, terhadap rakyat kami,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Russia berkata bahawa keempat-empat penyerang yang disyaki adalah warga asing.
Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kepada agensi berita NPR bahawa AS percaya kumpulan sekutu Daesh yang dikenali sebagai Wilayah Khorasan Negara Islam atau ISIS-K, bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Kumpulan itu yang berpangkalan di timur Afghanistan mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas saluran Telegramnya lewat Jumaat lalu.
Pegawai perisikan AS juga berkata mereka memberi amaran kepada Kremlin awal bulan ini tentang kemungkinan serangan berdasarkan maklumat perisikan.
“Kerajaan AS mempunyai maklumat mengenai rancangan serangan pengganas di Moscow, berpotensi menyasarkan perhimpunan besar, termasuk konsert,” kata Adrienne Watson, jurucakap Majlis Keselamatan Negara dalam satu kenyataan.
Watson berkata perisikan itu mendorong Kedutaan AS mengeluarkan nasihat keselamatan kepada rakyatnya yang tinggal di Russia dan berkongsi maklumat itu dengan pihak berkuasa Rusia selaras dengan dasar kewajipan untuk memberi amaran yang sudh lama wujud.
Dalam ucapannya Sabtu lalu, Putin tidak menyebut tentang ISIS-K, sebaliknya menuduh pihak berkuasa Ukraine cuba membantu empat penyerang melarikan diri melalui Ukraine.
“Mereka cuba bersembunyi dan bergerak ke arah Ukraine, di mana menurut data awal, tingkap disediakan untuk mereka di sebelah Ukraine untuk menyeberangi sempadan negeri,” kata Putin.