Graduan jurusan Seni Muzik, Patrick How Ping menerima Anugerah Penghargaan daripada Arifin.
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah berusaha mewujudkan lebih banyak inisiatif pendidikan melalui Program Kolaborasi Industri (ICP).
Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata melalui program tersebut usaha pemadanan kerja bagi graduan yang bersesuaian dengan kelayakan dapat disinergikan terutama dalam bidang seni rekaan, keusahawanan, telekomunikasi dan teknologi.
“World Economic Forum pada tahun lalu telah menerbitkan The Future of Jobs Report 2023 yang melaporkan dalam tempoh lima tahun akan datang, kira-kira 41 peratus daripada tenaga kerja dalam industri sedia ada perlu dilatih semula.
“Oleh itu, penglibatan secara langsung daripada pihak industri perlu diperkukuhkan, kolaborasi serta paduan tenaga, kombinasi teknologi dan idea bersama perlu disatukan bagi mencipta generasi tenaga kerja yang berjaya,” katanya ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Institut Seni Sabah (SIA) ke-29 di Auditorium Kompleks JKKN, pada Sabtu.
Arifin yang juga Exco Pendidikan mengingatkan kepada para graduan peluang mendapat pendidikan merupakan nikmat yang sangat berharga.
“Saya yakin para graduan mempunyai impian dan ada di antara para graduan telah mula melangkah untuk melanjutkan pendidikan di tahap yang lebih tinggi, manakala ada sebahagian mungkin ingin meningkatkan kemahiran di alam pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang diceburi.
“Justeru, pembelajaran terutama pembelajaran sepanjang hayat mampu menjadi pemangkin kesejahteraan secara tidak langsung menaiktaraf intelek masyarakat setempat,” tambahnya.Seramai 32 graduan daripada program diploma seni muzik, reka bentuk grafik, rekaan dalaman, rekaan fesyen dan seni bina menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut manakala lima graduan terpilih menerima Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik SIA.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia, Pengerusi POIC Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden SIA Prof Datuk Dr Wilson Yong Tung Yung dan Presiden Persatuan IPTS Sabah Prof Datuk Seri Wong Khen Thau.