Ramli Mohamed Yoosuf
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua rakyat Malaysia ditangkap pihak berkuasa Thailand berhubung kes penipuan pelaburan sehingga memiliki aset bernilai lebih lima bilion bath (RM657.90 juta).
Suspek rakyat Malaysia lelaki berusia 43 tahun dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket terbabit ditahan bersama seorang lagi rakyat Malaysia berusia 26 tahun serta tujuh warga Thailand yang lain dalam beberapa siri serbuan di negara Gajah Putih itu.
Sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai ‘Nichare’ dipercayai sudah memperdayakan kira-kira 50 mangsa yang mengakibatkan kerugian 800 juta bath (RM105.26 juta).
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini pihaknya sedang bekerjasama dengan polis Thailand untuk mengesan rangkaian sindiket berkenaan di negara ini.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat terbaharu menerusi tangkapan sembilan suspek terbabit, satu pusat panggilan di Bangkok turut diserbu dan membawa kepada tiga lagi lelaki warga Malaysia ditahan.
“Hasil semakan awal, suspek rakyat Malaysia berusia 42 tahun adalah dalang utama kegiatan penipuan pelaburan Nichare di negara ini dan Thailand selain mempunyai jenayah lampau berkaitan dua kes keldai akaun dan satu kes di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Ini kerana mereka didapati menggunakan jaringan penajaan penipuan yang sama dalam memerangkap secara transnational di Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Kemboja,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, Khamis.
Menurut Ramli, sejak September tahun lalu sehingga kelmarin, sebanyak 70 laporan telah diterima membabitkan penipuan pelaburan Nichare dengan nilai kerugian RM14.377 juta didalangi suspek terbabit.
“Daripada 70 laporan polis, JSJK sudah membuka 52 kertas siasatan selain mengenal pasti dan mengesan saki-baki rangkaian suspek di negara ini.
“Malah jalinan erat dan perkongsian maklumat antara PDRM, Polis polis Thailand dan Polis Antarabangsa dijangka dapat membanteras sindiket penipuan ini dalam masa terdekat,” katanya.
































