Kebakaran hutan di Kg. Karamantoi, Sook, kelmarin. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew menasihatkan orang ramai supaya mementingkan kesihatan dan mengelak daripada melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang mungkin menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada jerebu yang berleluasa di beberapa bahagian di negeri ini.
Beliau mahu orang ramai berhati-hati bagi mengelak kejadian kebakaran belukar daripada meningkat.
“Saya dimaklumkan beberapa kebakaran belukar mungkin berpunca daripada pembuangan rokok sembarangan di tepi jalan di beberapa kawasan.
“Beri perhatian kepada amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan. Lihat pada gambaran yang lebih luas, dan berhenti membakar demi kepentingan kesihatan awam,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Christina Liew
Berdasarkan data Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Menteri berkata, angka terkumpul dari 1 Januari hingga 13 Mac 2024 menunjukkan terdapat 961 kes kebakaran di enam zon meliputi 25 daerah dan kawasan tertentu di seluruh Sabah.
“Kes-kes ini melibatkan kebakaran belukar, kebakaran kebun/ladang, kebakaran hutan dan kebakaran gambut,” katanya.
Tuaran di Zon 1 mencatatkan jumlah tertinggi dengan 271 kes, diikuti Kota Belud (136 kes) di Zon 3, Kota Kinabalu (90) di Zon 1, Lintas (75) di Zon 1, dan Penampang (60) di Zon 1.
Pemaju perumahan terkemuka Datuk Susan Wong melaporkan keadaan berjerebu di kawasan Benoni, Papar. Sehingga 13 Mac, 50 kes kebakaran belukar, kebakaran hutan dan kebakaran kebun/ladang telah direkodkan di daerah tersebut (Zon 2).


































