Saifuddin Nasution Ismail
PETALING JAYA: Setiap permohonan mendapat kewarganegaraan perlu melalui proses undang-undang untuk membolehkan seseorang itu dinilai sama ada layak atau tidak diberi kerakyatan.
Undang-undang semasa kewarganegaraan juga tidak membawa maksud semua individu termasuk bayi yang ditemui terdampar boleh dianugerahkan kewarganegaraan secara automatik.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, semuanya perlu melalui proses yang termaktub dalam undang-undang sebelum diluluskan.
Beliau menjawab kritikan ahli politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pemberian kewarganegaraan melibatkan anak-anak terdampar.
Menurut beliau, anak terdampar atau bayi ditemui tanpa diketahui asal usul perlu melalui beberapa proses seperti membuat laporan polis, melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagaimanapun, katanya, terdapat mereka yang menemui anak terdampar dan menjadikannya anak angkat tanpa melalui proses sepatutnya, termasuk ada yang guna khidmat sindiket sijil lahir palsu.
“Keluarga tersebut hanya mengetahui tindakannya itu ada masalah atau sudah ditipu apabila anak itu mencecah umur 12 tahun dan perlu mendaftarkan emperoleh MyKad” kata beliau ketika ditemu bual Utusan Malaysia di sini, Selasa.
Menurut beliau, setakat ini seramai 142 anak terdampar mendapat kewarganegaraan secara automatik kerana mereka melalui proses mendaftarkan kewarganegaraan secara sah.
“Bermaksud, ada individu yang menjumpai bayi lalu mendakwa itu merupakan anaknya. Jadi dia mengambil tindakan mendapatkan sijil lahir menerusi sindiket.
“Sepatutnya ia dilaporkan kepada pihak polis, JKM atau dibawa ke hospital tetapi dia tidak buat begitu sebab dia kira itu anaknya.
“Apabila anak itu berumur 12 tahun dan nak mendaftar MyKad, kita semak sistem, tetapi namanya tiada,” jelasnya.
Ketika ini, hangat perdebatan dalam kalangan orang politik dan NGO susulan kerajaan merancang untuk meminda beberapa peruntukan dalam perlembagaan termasuk pemberian kewarganegaraan untuk anak terdampar.
Antara yang lantang ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. Hassan dilaporkan berkata, beliau akan mengundi untuk menolak pindaan Perlembagaan Persekutuan terdampar tersebut.
Malah, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh turut tidak sependapat dengan Saifuddin kerana berpendapat ia akan memburukkan hidup anak-anak tersebut.
Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan pula mencabar supaya Pakatan Harapan (PH) membenarkan setiap ahli parlimennya bertindak secara bebas semasa mengundi usul meminda syarat kerakyatan tersebut.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua pihak sepatutnya faham bahawa undang-undang semasa tidak membawa maksud anak terdampar secara automatik mendapat kewarganegaraan kerana ia tetap mempunyai proses sebelum kerakyataannya diluluskan.
“Bahasa mudahnya automatik mendapat warganegara bukan bermaksud jumpa sahaja anak terdampar terus dapat warganegara.
“Dakwaan hapuskan automatik terus gelap masa depan dan tiada lagi ruang, itu kenyataan yang mengelirukan,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan ingin membuat pindaan dan mewujudkan perkara baharu iaitu anak yang dijumpai itu boleh mendapat kewarganegaraan secara pendaftaran.
“Tetapi orang ‘pusing’ bahawa ini menutup ruang dan menambahkan lagi jumlah kanak-kanak tanpa negara. Tetapi yang disembunyikan jalan untuk mendapatkan kewarganegaraan untuk anak-anak ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetap proses tetapi secara pendaftaran.
“Untuk memohon sijil lahir supaya ditulis warganegara, individu itu perlu siapkan laporan polis, hospital dan JKM. Jika tidak boleh buat semua perkara ini, jangan tunding jari (kepada) kerajaan,” katanya.
Katanya, kerajaan turut memproses taraf anak terdampar yang sudah mencapai umur lebih tujuh tahun di bawah Perkara 15A iaitu kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak seperti anak angkat, anak tidak sah taraf dan anak di bawah jagaan.
“Jumlah permohonan di bawah Perkara 15A sekarang ini ada 59,000 dan yang kita sudah membuat keputusan sebanyak 35,000. Baki ada 14,000 lagi.
“Dalam 35,000 permohonan yang kita sudah buat keputusan itu, 98 peratus berjaya mendapat kelulusan warganegara. 14,000 permohonan lagi, KDN beritahu bahwa sebelum 31 Disember, kita akan selesaikan semua. Kita akan uruskan permohonan baharu selepas itu,” katanya.


































