Lelaki itu menerima ratusan dos vaksin itu selama 29 bulan.
BERLIN: Seorang lelaki berusia 62 tahun dari Jerman dilaporkan menerima sebanyak 217 dos vaksin Covid-19.
Berdasarkan kajian diterbitkan di jurnal Lancet Infectious Diseases, lelaki berasal dari Magdeburg mendapat ratusan suntikan vaksin itu `atas sebab peribadi’ selama 29 bulan.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik dari Universiti Erlangen-Nuremberg memaklumkan lelaki berkenaan tidak pernah dijangkiti virus yang menyebabkan Covid-19.
Malah, jelas penyelidik, lelaki itu juga tidak melaporkan sebarang kesan sampingan berkaitan vaksin daripada mana-mana 217 suntikan.
Ahli akademik mendapat tahu mengenai kisah lelaki itu menerusi laporan media dan meminta kebenaran sama ada boleh mengkaji tindak balas badannya terhadap puluhan suntikan diambil.
“Kami mengetahui kes lelaki itu melalui artikel akhbar dan kemudian menjemputnya untuk menjalani pelbagai ujian di Erlangen.
“Lelaki itu berminat untuk berbuat demikian,” kata Dr. Kilian Schober.
Menurut pasukan penyelidik, terdapat pengesahan rasmi untuk penggunaan 130 vaksin termasuk lapan vaksin berbeza.
“Pemerhatian mendapati tiada kesan sampingan ketara dicetuskan walaupun vaksinasi luar biasa ini menunjukkan ubat-ubatan tersebut mempunyai tahap toleransi yang baik,” kata Schober.
Pasukan penyelidik mengkaji ujian darah awal dilakukan lelaki itu dan memeriksa sampel darah ketika dia terus menerima vaksin selanjutnya.
Penyelidik mendapati sistem imun lelaki berkenaan amat baik.
“Sel imun tertentu dan antibodi terhadap virus yang menyebabkan Covid-19 (Sars-CoV-2) hadir pada tahap jauh lebih tinggi berbanding orang lain yang hanya menerima tiga vaksin,” kata pasukan penyelidik.


































