PETALING JAYA : Sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang tunai bernilai RM3 juta milik seorang ahli perniagaan wanita dilarikan penjenayah selepas kediamanya di Padang Balang, Sentul dipecah masuk semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, beberapa buah beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarganya turut dilarikan penjenayah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa berusia 43 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju hari ini.
Kata beliau, jumlah anggaran kerugian adalah lebih kurang RM3.5 Juta.
“Kejadian berlaku antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam dan ketika itu, tiada orang di rumah tersebut.
“Kamera litar tertutup di kediaman itu dirosakkan oleh suspek, namun siasatan lanjut di tempat kejadian telah dibuat oleh pasukan forensik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai empat belas tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada IPD Wangsa Maju di talian 03- 92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

































