Masiung Banah
KOTA KINABALU: ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah drastik untuk melakukan pembenihan awan di Sabah.
Katanya, cuaca panas dan kering ketika ini mencecah sehingga 40 darjah celsius telah mula menjejaskan bekalan air sedia ada di empangan negeri.
Menurutnya, laporan Jabatan Air Sabah (JAS) menunjukkan takungan empangan air berada ditahap kritikal dan hanya berbaki tiga bulan untuk menampung keperluan pengguna.
Selain itu katanya, sumber air di lembangan sungai di beberapa daerah juga telah menunjukkan paras penurunan yang ketara.
“Gelombang haba yang tinggi hingga memusnahkan tanaman dan ternakan telah mula menjejaskan bekalan air penduduk di kawasan luar bandar,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu mahu Kerajaan Sabah segera mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan pembenihan awan.
Masiung berkata, pada masa ini, keadan kemarau dan cuaca panas di Sabah sudahpun mencecah sebulan.
“METMalaysia juga turut meramalkan keadan kering dan panas di Sabah akan berterusan sehingga hujung bulan Mei depan.
“Fenomena monson barat daya kali ini agak luar biasa dan Kerajaan perlu segera mengambil langkah drastik supaya proses pembenihan awan disegerakan.”
Masiung berkata, langkah catuan bekalan air kurang disenangi penduduk, lebih-lebih lagi pada pertengahan bulan Mac, umat Islam akan menunaikan ibadah puasa.
Dalam masa sama katanya, sekolah juga mula dibuka, di mana cuaca panas dan kering boleh menyebabkan orang ramai terdedah dengan strok haba.


































