Ewon Benedick
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan lapan program utama sepanjang tahun 2023 bagi membantu usahawan golongan B40 dan usahawan muda di Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, lapan program tersebut dilaksanakan oleh Kementerian dan agensi-agensi Kementerian iaitu SME Corp, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah oleh SME Corp yang disediakan khusus untuk perusahaan mikro Bumiputera Sabah dan sebanyak 67 permohonan melibatkan geran sebanyak RM5.5 juta telah diluluskan. Manakala di bawah Program BEEP sedia ada, sejumlah 15 PMKS Bumiputera Sabah telah mendapat kelulusan geran bernilai RM3.6 juta.
“Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera oleh SME Corp telah memberi manfaat kepada seramai 244 orang usahawan belia Bumiputera di Sabah dengan kelulusan geran sebanyak RM3.7 juta.
“Skim Pembiayaan Usahawan Tamu di bawah TEKUN Nasional telah memberi manfaat kepada seramai 608 orang penjaja dan peniaga kecil di Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM2.43 juta. Bagi usahawan muda pula, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM645,000 kepada 45 orang usahawan belia di Sabah di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya.
Menurut Ewon, Skim Pembiayaan Ikhtiar i-MUDA oleh AIM telah memberi manfaat kepada seramai 14,905 usahawan muda di Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM90.27 juta pada tahun 2023.
INSKEN yang telah membuka Pejabat Cawangan di Sabah pada Mei tahun lepas juga telah melaksanakan sebanyak 31 program melibatkan seramai 1,681 usahawan di Sabah.
“Program i-TEKAD oleh SME Banak melibatkan seramai 30 usahawan B40 dengan geran peruntukan sebanyak RM150,000 di Sabah, manakala Program i-TEKAD Bank Rakyat pula, sebanyak RM195,000 telah disalurkan kepada 39 orang usahawan B40 di Sabah.
“Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) oleh SKM bagi melahirkan usahawan koperasi di kalangan pelajar sekolah menengah dan kolej vokasional di mana sebanyak 7 koperasi sekolah di Sabah telah menyertai program ini. Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana Berhad daripada daerah Lahad Datu telah menjadi johan bagi Anugerah Projek Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023,” katanya.
Ewon menambah, Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE), Program Latihan Kerjaya dan Keusahawanan bagi Graduan TVET (GRACE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE) di bawah PROTEGE telah memberi manfaat kepada seramai 292 usahawan graduan di Sabah bagi tempoh sehingga tahun 2023.
“KUSKOP juga akan memulakan Projek Tamu Desa yang bertujuan untuk membina dan menaiktaraf kemudahan ruang niaga dan infrastruktur keusahawanan di luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun 2024 melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM19 juta yang tentunya akan dapat memberi manfaat kepada usahawan B40 dan usahawan muda di Sabah,” katanya.
Ewon berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang bertanya mengenai inisiatif proaktif KUSKOP untuk meningkatkan keberdayaan usahawan khususnya golongan B40 dan usahawan muda di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah.
Usahawan dan koperasi boleh mohon sertai program pemasaran digital di INSKEN dan IKMA
Sementara itu, Ewon Benedick berkata, usahawan dan koperasi boleh memohon menyertai program latihan pemasaran digital yang disediakan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA).
Beliau berkata, kedua-dua agensi di bawah kementerian itu menyediakan jadual latihan sepanjang tahun dan terbuka disertai semua usahawan dan koperasi termasuk di kawasan luar bandar.
“Di bawah program bimbingan dan latihan keusahawanan di bawah INSKEN, kita sediakan modul latihan bertujuan membimbing usahawan-usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara oline.
“Begitu juga untuk koperasi-koperasi, kita mempunyai IKMA yang turut menyediakan modul-modul latihan untuk koperasi, kita bimbing mereka bagaimana untuk memasarkan perkhidmatan dan produk koperasi mereka secara dalam talian.
“Semua jadual latihan sepanjang tahun ini disediakan oleh kedua-dua agensi berkenaan dan terbuka untuk semua usahawan dan koperasi termasuk di luar bandar untuk memohon menyertainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr. Ronald yang bertanya, apa program khusus kementerian untuk usahawan luar bandar supaya beralih kepada adaptasi pendigitalan agar lebih maju dalam perniagaan.
Terdahulu dalam jawapan kepada soalan asal, Ewon menyatakan Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE) antara program keusahawanan dengan komponen digitalisasi juga dilaksanakan oleh KUSKOP di bawah PROTEGE.