Ellron (dua dari kiri) bersama Flovia (dua dari kanan) dan VIP lain yang hadir menuai padi sebagai gimik perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sook.
SOOK: Penaiktarafan status Daerah Kecil Sook ke daerah penuh oleh Kerajaan Negeri tahun ini akan memudahkan masyarakat di kawasan ini mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan, kata ADUN Sook, Datuk Ellron Angin.
Tambahnya, ini seterusnya akan meningkatkan capaian perkhidmatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Sook.
Selaras dengan proses penaiktarafan status Sook, katanya, pembangunan-pembangunan di kawasan ini akan terus diperhebatkan.
“Antara yang utama ialah meningkatkan mutu, keperluan dan bangunan kesihatan di Sook yang sedia ada. Setakat ini sebanyak empat klinik di Sook iaitu Klinik Sook, Klinik Marapok dan Klinik Karamatoi sedang dalam proses penaiktarafan ke bangunan konkrit, manakala Klinik Tulid pula telah siap dan sedang beroperasi. Peruntukan untuk Klinik Mansiat yang telah musnah terbakar pada tahun 2022 telahpun diluluskan dan sekarang berada di fasa perolehan.
“Selain itu, cadangan pembinaan Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sook yang bakal menjadi pusat utama penempatan kanak-kanak OKU di kawasan pedalaman. Taman Didikan ini menempatkan kanak-kanak upaya untuk diberi perhatian, bimbingan, mengikut kemampuan mereka.
“Saya yakin selepas ini pasti lebih banyak lagi pembangunan akan terus diwujudkan di Sook bagi memenuhi kapasiti keperluan penduduk Sook. Potensi dan kawasan Sook yang luas dan rata serta strategik iaitu menjadi titik utama jalan Nabawan ke Keningau dan Tongod ke Keningau pastinya akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini.
“Pewartaan (status Sook) ini adalah antara hasrat dan misi saya bagi memudahkan rakyat Sook agar terus mendapat akses perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien dan efektif selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya. Oleh itu saya menyeru agar warga Sook menyokong apa juga agenda pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan yang sudah pastinya untuk kesejahteraan dan kemajuan masyakarat pedalaman. Mari kita terus bekerja keras untuk Sook,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Sook tahun 2024 di Dewan Masyarakat Sook, di sini, kelmarin.
Terdahulu, Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, penganjuran Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Sook tahun ini yang agak berbeza dengan mengadakannya terlebih dahulu di peringkat mukim adalah penting bagi mendedahkan para pemimpin masyarakat di peringkat mukim dan kampung dengan cara pengelolaan acara yang besar seperti ini.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, buat pertama kalinya, Pesta Kaamatan diraikan terlebih dahulu di peringkat mukim-mukim di DUN Sook (Mukim Sook, Tiulon, Ansip, Dalit) dan DUN Tulid (Mukim Tulid, Lanas, Menawo dan Seberang) sebelum ke acara kemuncak Pesta Kaamatan peringkat Daerah Kecil Sook.
“Penganjuran seumpama ini adalah penting selain peranannya yang amat signifikan dalam memperkasa adat dan tradisi budaya Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR). Menerusi penganjuran peringkat mukim, pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat mukim dan kampung akan didedahkan dengan cara pengelolaan acara yang besar seperti Pesta Kaamatan.
“Selain itu, rakyat di peringkat akar umbi akan merasakan suasana Kaamatan melalui penglibatan pertandingan-pertandingan yang dianjurkan seperti Unduk Ngadau, Sugandoi dan sukan-sukan tradisi. Hal ini secara tak langsung, memupuk rakyat untuk menyelami lagi maksud sebenar perayaan Pesta Kaamatan terutamanya dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para penganjur yang mengelolakan Pesta Kaamatan di mukim masing-masing kerana telah bertungkus lumus menjayakan perayaan ini dengan lancar dan jayanya.
“Semoga dengan berlangsungnya pesta Kaamatan di peringkat mukim dan daerah akan mengukuhkan persefahaman dan mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat Sook di samping kita terus merayakan warisan dan kebudayaan ini agar tidak ditelan zaman,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng.
































