PETALING JAYA: Polis menahan 15 individu yang terlibat dengan aktiviti memasak mi segera di kawasan sebuah stesen minyak di Genting Highlands, Pahang, kelmarin.
Penahanan itu membabitkan 10 lelaki dan lima wanita selepas mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan empat saksi juga sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan merujuk kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan satu kertas siasatan dibuka polis berhubung video tular memaparkan aktiviti memasak mi segera di kawasan stesen minyak tersebut.
Satu laporan polis diterima 12.35 tengah hari pada 14 Mei lalu berhubung klip video memaparkan sekumpulan individu melakukan perbuatan itu yang tular dalam media sosial.
Hasil siasatan mendapati klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum tular dalam laman sosial X.
Klip video berdurasi kira-kira 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak stesen minyak berkenaan































