Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius elemen penyalahgunaan media sosial membabitkan insiden-insiden yang menyasarkan institusi penting negara yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak menyebarkan sebarang spekulasi dan memberikan pendapat tidak berasas.
“Insiden ini mungkin menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan awam, tiada sindrom penafian dalam bab itu. Sebab itu kita gesa supaya orang ramai tidak membesar-besarkan isu ini terutama melalui media sosial.
“Saya ingin ulangi bahawa serangan-serangan dan ancaman-ancaman ini diambil serius dengan proses perundangan sedia ada untuk menangani perkara ini. Dan polis juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa siasatan yang mendalam sedang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut memohon kerjasama masyarakat agar tidak menimbulkan kemarahan, perpecahan dan kekacauan.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan mengemas kini maklumat lanjut dari semasa ke semasa berdasarkan siasatan dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak polis.
“Tetapi kalau ada dalam kalangan masyarakat yang menemui elemen atau aktiviti yang mencurigakan, mereka seharusnya segera membuat laporan,” katanya.































