Tangkap layar yang diambil daripada satu rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki sedang bergaduh di sebuah padang bola sepak di Butterworth, Pulau Pinang
BUTTERWORTH : Tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pemain dalam satu perlawanan bola sepak di Padang St. Mark, di sini Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, terdahulu, pihaknya telah menerima satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan berhubung insiden itu.
Kata beliau, laporan tersebut dibuat susulan pergaduhan yang dikatakan berlaku selepas selesai perlawanan bola sepak terbabit.
“Punca kejadian disebabkan oleh perasaan tidak puas hati dengan keputusan pengadil selain terdapat perbuatan provokasi sesama pihak dengan cara mempamerkan mimik muka dan gerak badan ketika perlawanan berlangsung.
“Justeru, bertindak atas maklumat, polis kemudian berjaya menahan tiga suspek lelaki yang berusia antara 30 sehingga 40-an pada hari yang sama.
“Hasil semakan mendapati, salah seorang daripada suspek memiliki satu rekod jenayah lampau pada tahun 2021,” katanya di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, Siti Nor Salawati berkata, kesemua suspek telah direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan.
Tambahnya, usaha mengesan individu lain yang terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Dalam hal ini, polis berharap agar orang ramai tidak mensensasikan kejadian terbabit di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai persepsi yang boleh menganggu ketenteraman awam.
“Sebaliknya, sesiapa yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahuku, tular satu video berdurasi 41 saat memaparkan sekumpulan individu yang sedang bermain bola sepak bergaduh di padang bola berkenaan.
































