IPOH: Empat lelaki menaiki sebuah kenderaan yang dikejar kereta peronda polis sejauh lebih 50 kilometer hingga mengakibatkan dua anggota polis cedera di Kilometer 215, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Taiping minggu lalu, berjaya diberkas Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek warga tempatan berusia 38 hingga 42 tahun itu ditangkap di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah.
Katanya, tangkapan oleh Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu turut membawa kepada rampasan barang kes iaitu pelbagai peralatan untuk mencuri kabel.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, kesemua suspek mengaku terlibat dalam insiden kejar itu serta kes-kes curi kabel di bandar Ipoh.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, permohonan reman dibuat ke atas suspek untuk siasatan lanjut dan tempoh reman selama empat hari dibenarkan bermula kelmarin hingga Jumaat depan.
Katanya, kertas siasatan akan segera dilengkapkan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.
“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kabel dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 6.50 pagi, 19 Februari lalu itu, dua anggota berpangkat koperal dan lans koperal berusia 29 dan 38 tahun luka di kepala dan sakit di beberapa bahagian badan termasuk dada dan tengkuk selepas kereta peronda jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) dinaiki hilang kawalan.
Kenderaan itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan akibat melanggar satu objek besi yang dilemparkan suspek.
Sebelum itu, kenderaan suspek dikejar kereta peronda polis sejauh lebih 50 kilometer iaitu dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.
































