Jim Ratcliffe
LONDON: Rejim Sir Jim Ratcliffe tidak menunggu lama untuk memulakan pengaruhnya apabila dilaporkan akan membuat pembersihan besar-besaran pada musim panas ini di Manchester United.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan yang diketuai Ratcliffe didakwa sedang merancang untuk melepaskan seramai 11 pemain kerana ingin membina skuad yang boleh bersaing di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ratcliffe, 71, menyelesaikan pembelian 27.7 peratus kepentingan dalam kelab itu pada Selasa lalu dengan syarat perjanjian itu akan menyaksikan kawalan operasi bola sepak kepada syarikatnya, INEOS.
Proses saringan pemain yang dilakukan pasukan Ratcliffe merupakan usaha untuk menghidupkan semula kegemilangan United seperti satu ketika dahulu.
United dijangka berbelanja besar pada musim panas ini untuk membentuk semula skuad itu, namun mengambil kira kebimbangan mematuhi peraturan Fair Play Kewangan (FFP), Ratcliffe bersedia untuk menjual sejumlah besar pemain pada musim panas ini.
Antara pemain yang tersenarai dalam pemerhatian Ratcliffe ialah Anthony Martial yang tidak akan ditawarkan kontrak baharu dan akan dibenarkan meninggalkan pasukan secara percuma.
Bekas kapten, Harry Maguire dan bekas pemain Real Madrid, Raphael Varane serta Casemiro adalah antara mereka yang berpotensi untuk dijual.
United akan mempertimbangkan bidaan untuk pemain seperti Aaron Wan-Bissaka, Scott McTominay, Victor Lindelof dan Christian Eriksen.
Sementara itu Donny Van De Beek, Jadon Sancho, Facundo Pellistri dan Brandon Williams kini dipinjamkan dengan kesemua mereka dibenarkan meninggalkan kelab hujung musim ini.
Ratcliffe jelas mahu meningkatkan kualiti pasukan mereka di seluruh skuad musim panas ini, namun nasib pengendali pasukan itu, Erik Ten Hag masih menjadi tanda tanya.

































