KOTA KINABALU: Sabah Electrcity Sdn. Bhd. (SESB) sedang bekerjasama dengan Energy Commission of Sabah (Ecos) untuk memastikan elektrik dapat dibekalkan kepada penduduk beberapa buah kampung di Kota Belud.
Ketua Pegawai Eksekutif, Ir.Ts. Mohd. Yaakob Haji Jaafar berkata, kemudahan bekalan elektrik yang disalurkan ke 19 kampung berkenaan adalah di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah kuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KLPBW).
Menurut beliau, SESB menjangkakan kesemua kampung yang terlibat dengan projek itu akan mendapat bekalan elektrik bulan depan.
“SESB sedang bekerjasama sepenuhnya bersama Ecos untuk memantau progres dan status projek berkenaan yang kini 95 peratus telah siap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kampung-kampung yang terlibat adalah Kg. Bukid Kembura, Kg. Gaur, Kg. Pinolobu, Kg .Takulung, Kg. Lumpios, Kg. Lasau Minunsud, Kg. Botung, Kg. Sogoh, Kg. Tengkurus, Kg. Gondukut, Kg. Lahanas, Kg. Taginambur Jaya, Kg. Tamalang, Kg. Bukit Bendera, Kg. Tororobo Tuguson, Kg. Talungan, Kg. Teguson, Kg. Nahaba dan Kg. Toburon.
Projek IPD Khas Setinggan diperluas ke Tawau
Sementara itu, SESB akan melaksanakan projek IPD khas dengan meter prabayar untuk pembekalan elektrik kepada kawasan penempatan setinggan di Tawau.
Projek IPD ini didapati amat berkesan setelah dilaksanakan di kawasan penempatan setinggan di Kampung Forest, Sandakan pada bulan Oktober 2023 sehingga kejadian gangguan bekalan elektrik, vandalisma dan kualiti voltan rendah di kawasan sekitar kini adalah minima.
Selain itu, pelaksanaan projek IPD di Kampung Forest, Sandakan juga membuktikan bahawa projek ini adalah ‘jawapan’ kepada isu penyambungan haram yang amat merugikan SESB kerana tidak dapat mengutip hasil penggunaan elektrik.
Mohd. Yaakob berkata, SESB telahpun mengenal pasti beberapa kawasan setinggan yang sesuai untuk projek IPD khas ini termasuklah di Kampung Hidayat, Tawau.
Baru-baru ini, pihak SESB telahpun memulakan proses awal tinjauan bagi mendapatkan maklumat dan skop untuk melaksanakan projek ini.
Cadangan pelaksanaan projek ini kemudiannya akan diusulkan kepada pihak ECoS bagi tujuan untuk mendapatkan lesen IPD dan kadar tarif jualan.
Sementara itu, cadangan pelaksanaan projek IPD ini telahpun dikongsikan dengan Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Lo Su Fui semasa lawatannya ke Kampung Hidayat, Tawau bersama-sama dengan Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau Khamis lalu.


































