Polis memeriksa wanita warga asing yang bekerja di premis urut dipercayai menawarkan aktiviti tidak bermoral dalam serbuan di Lembah Klang, semalam. – Foto Ihsan PDRM
PETALING JAYA: Polis membongkarkan modus operandi menawarkan khidmat ranjang membabitkan wanita warga asing dengan harga sehingga RM320 kepada pelanggan tetap di premis urut.
Aktiviti pelacuran itu dibongkar menerusi 16 serbuan Op Noda Mega di sekitar Lembah Klang, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi tersebut bermula 3 petang dijalankan di dua lokasi di Selangor iaitu Serdang, Gombak, Sentul, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pihaknya menahan 64 individu iaitu 14 penjaga kaunter, 48 wanita asing disyaki pekerja seks serta dua pelanggan lelaki.
“Tangkapan wanita warga asing itu terdiri daripada 38 warga Thailand, tiga China dan tujuh Vietnam.
“Siasatan mendapati premis yang berselindung sebagai pusat urut itu menggajikan wanita warga asing bagi menawarkan aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat urut boleh datang secara walk-in selain membuat tempahan melalui media sosial WhatsApp di premis yang beroperasi setiap hari bermula pada 11 pagi hingga 11 malam itu.
Kata beliau, premis tersebut kebanyakan menyasarkan warga asing selain pelanggan tetap dengan pakej perkhidmatan seks ditawarkan sekitar RM150 hingga RM320, manakala urutan badan RM60 hingga RM120.
“Terdapat bayaran tambahan dikenakan sekiranya pelanggan mahukan khidmat tambahan,” ujarnya.
“Siasatan lanjut mendapati kebanyakan wanita asing ini bekerja dengan menggunakan pas lawatan sosial malah ada yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” ujarnya.
Tambahnya, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya wang tunai RM4,796, kamera litar tertutup (CCTV), alat kawalan jauh pintu masuk premis, kondom, jadual kerja wanita asing, risalah iklan, tisu basah, minyak urut dan gel pelincir serta telefon bimbit.


































