Seorang anggota polis Thailand melihat bas persiaran yang rosak yang membawa 36 pelancong Malaysia apabila ia terbabas dari jalan raya di daerah Bo Phloi di Kanchanaburi semalam.
KANCHANABURI: Seramai 36 pelancong Malaysia dan seorang pemandu bas persiaran Thailand cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbabas di jalan berhampiran daerah Bo Phloi di sini, petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Bangkok Post melaporkan, menurut polis, kejadian berlaku di antara penanda kilometer 14 dan 15 di Jalan Bo Phloi-Lat Ya, pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Polis, penyelamat dan pegawai perubatan yang bergegas ke tempat kejadian mendapati kesemua 39 orang di dalam bas persiaran itu cedera, termasuk 36 rakyat Malaysia.
Ada penumpang yang mengalami kecederaan parah.
Lebih 20 ambulans dikerahkan ke tempat kejadian untuk membawa mangsa yang cedera ke Hospital Bo Phloi.
Semua tayar belakang bas dengan plat lesen Bangkok pecah dan cermin depan bas turut pecah.
Pemandu bas, Sarayu Daengdam, 44, memberitahu polis bahawa bas itu dalam perjalanan ke Taman Safari di Bo Phloi pada waktu pagi.
Namun, sekitar pukul 1 tengah hari, bas tersebut meninggalkan zoo untuk membawa pelancong ke sebuah restoran di pusat bandar daerah Muang.
Daengdam berkata, ketika dia cuba memotong sebuah trak 10 tayar, stereng mengalami masalah dan dia tidak dapat mengawal bas.
Bas itu terbabas dari jalan dan terjunam ke tepi jalan. Nasib baik tiada kenderaan yang bergerak ke arah bertentangan, katanya.
Polis pelancong melawat hospital di mana terdapat ramai pelancong yang mengalami kecederaan dan pemandu pelancong yang sedang dirawat.
Pemandu pelancong itu dilaporkan cedera parah dan dipindahkan ke hospital lain.
































