Saripudin (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan semua peserta program.
TAWAU: Akses kepada pendidikan yang berkualiti dan pembangunan infrastruktur pendidikan adalah antara isu yang menjadi permasalahan dalam sistem pendidikan negeri Sabah, kata Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Ini selain kesedaran tentang kepentingan pendidikan tinggi dan pembangunan kemahiran hidup, tambah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu.
Menurut beliau, sistem pendidikan di Sabah terutamanya di Tawau bertukar menjadi lembaran hitam apabila berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19 yang merupakan suatu cabaran terbesar dalam bidang ini apabila sektor pendidikan terpaksa ditutup dalam suatu tempoh masa yang lama.
“Keadaan tersebut menghendaki proses pembelajaran beralih kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian (PdPR) yang menyebabkan sistem pendidikan di Sabah menghadapi kekangan yang agak besar dari segi ketersediaan infrastruktur khususnya jaringan internet dan teknologi. Hal ini secara langsung merencatkan proses pembelajaran disebabkan kawasan luar bandar dan pedalaman tidak mendapat akses internet yang baik.
“Oleh itu, Penggerak Pendaulat Borneo (PPB) 8.0: Edisi Menjejak Kecemerlangan telah mengambil inisiatif untuk menjadi sebahagian penggerak kepada pemerkasaan psikologi, motivasi,minat, adab, akhlak dan juga hala tuju pendidikan tinggi kepada pelajar di daerah Tawau,” kata Andi yang juga ADUN Tanjung Batu ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program PPB 8.0: Edisi Menjejak Kecemerlangan di sini kelmarin. Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Ahli Parlimen Kalabakan itu berkata, Program PPB 8.0: Edisi Menjejak Kecemerlangan merupakan kesinambungan daripada program pemerkasaan pendidikan yang menjadi inisiatif dan fokus utama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UMS) bagi mengatasi cabaran yang dihadapi oleh masyarakat di Borneo, khususnya Sabah dan Sarawak dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan melalui hasil daripada penelitian terhadap keperluan sebenar komuniti di kawasan terpencil dan kurang berkembang di Borneo.
Jelasnya, sepanjang program empat hari tiga malam itu berlangsung, perkongsian ilmiah kepada para peserta disampaikan melalui modul yang telah dirangka khas mengikut skop akademik dan pembangunan akhlak iaitu IHSAN.
“Pada masa yang sama, daya saing antara pelajar juga dapat ditingkatkan melalui pelaksanaan latihan dalam kumpulan yang menggabungkan aspek kerjasama, pemikiran yang kreatif dan kritis.”
Selain itu katanya, rakan kerjasama bagi membantu dalam menggerak dan menjayakan program ini seperti GABETA, Persatuan Belia Pasir Putih, PPD, IKRAR, Yayasan Maghfirah serta SUK Sabah sememangnya turut memainkan peranan penting dalam mencapai tujuan bersama.
“Melalui pengukuhan hubungan kerjasama, dalam bidang peribadi dan profesional, dunia yang lebih harmoni, inklusif dan produktif dapat tercipta bagi setiap individu.
“Bukan itu sahaja, program ini telah ditaja oleh Yayasan Maghfirah cawangan negeri Sabah sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada para peserta dengan memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit sebanyak RM3,000 bagi 30 orang peserta yang berstatus B40. Selain itu, syarikat MR.DIY juga memberi sokongan dalam bentuk sumbangan alatan persekolahan sebanyak 40 set kepada para peserta bagi menjayakan program ini,” ujarnya.
Beliau berharap segala ilmu yang telah dikongsi serta dipelajari dapat menjadi bekal yang berharga dalam setiap langkah peserta menuju ke masa hadapan dan acara itu membawa berkat dan inspirasi kepada semua.
“Marilah kita mengekalkan semangat dan ikatan persaudaraan yang terjalin serta terus berusaha untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Mengucapkan terima kasih kepada pihak urusetia PPB 8.0 serta pihak-pihak yang telah turut sama terlibat dalam memeriahkan dan membantu menjayakan program itu, Andi berkata, tanpa dukungan, kerjasama, komitmen dan dedikasi yang telah diberikan daripada setiap individu yang terlibat, pencapaian yang diraih pada hari ini tidak dapat terwujud.
Seramai 180 peserta daripada beberapa buah sekolah di daerah Tawau menyertai program tersebut.
































