Ng Tze Yong terus berdepan cabaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dihimpit kecederaan baharu pada saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC 2024) baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan mahu pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong fokus kepada rawatan pemulihan kecederaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan peluangnya untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, Hannah Yeoh berkata, beliau mahu pemain perseorangan itu kembali pulih dan cergas untuk meneruskan pemburuan tiket ke temasya berprestij itu.
“Saya harap dia fokus kepada sesi pemulihan dan semoga dia cepat sembuh. Sudah semestinya saya bimbang tentang kecederaannya dan saya harap beliau kembali pulih dan cergas sebelum kelayakan Olimpik Paris 2024 berakhir,” katanya.
Hannah sebelum itu melancarkan Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua 2024 di Seri Kembangan, Selangor, semalam.
Terdahulu, Ng Tze Yong terus berdepan cabaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dihimpit kecederaan baharu pada saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC 2024).
Ketua Pegawai Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ooi Yu Hang mengesahkan, pemain di ranking No.15 dunia itu mengalami kecederaan tulang belakang ketika menentang pemain Brunei pada aksi pertama kejohanan tersebut.
Tegas Yu Hang, masalah pemain berusia 24 tahun itu bukan kecederaan berulang seperti dialaminya pada Terbuka Malaysia bulan lalu iaitu koyak otot di bahagian belakang.
Dalam pada itu, Hannah enggan mengulas kenyataan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mengatakan Ng Tze Yong adalah ‘zero’.
Ia berikutan selepas Rexy menafikan dakwaan jam latihan pemain perseorangan lelaki itu adalah selama enam jam sehari.
































