Gambar hiasan
MADRID: Seorang wanita di Sepanyol mencetuskan kontroversi dengan mendakwa menitiskan air kencing di mata mampu menyembuhkan rabun dan astigmatisme.
Pengguna TikTok yang juga penolong kaunselor metafizik, Suama Fraile mendakwa air kencing adalah jauh lebih baik untuk merawat masalah mata berbanding ubat mengandungi bahan kimia yang diberikan oleh doktor.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, wanita itu mendakwa pernah menitiskan air kencing ke matanya hampir setiap hari sehingga masalah rabunnya dan astigmatisme pulih.
Dalam video TikTok yang tular di media sosial, Fraile menjelaskan bahawa titisan air kencing `berfungsi lebih baik berbanding ubat konvensional’ kerana bahan kimia terdapat dalam ubat mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
Bagi membuktikan keberkesanan air kencing sebagai penawar untuk masalah penglihatan yang lemah, wanita itu berkongsi pengalaman peribadinya.
“Saya menitiskan air kencing ke dalam mata pada setiap pagi dan malam. Ia memulihkan masalah rabun dan astigmatisme saya.
“Ini merupakan rawatan semula jadi, lupakan mengenai ubat, ia adalah bahan kimia dan itu akan menjejaskan kesihatan,” katanya.
Fraile mendakwa titisan air kencing harus dipratikkan setiap hari bagi membolehkan terapi itu memberi kesan positif.
Setakat ini, tiada bukti saintifik menyokong kesan terapi air kencing terhadap kesihatan.
Dilaporkan, terapi air kencing pernah menjadi rawatan alternatif yang dipopularkan oleh ahli naturopati dari Britain, John W. Armstrong pada awal abad ke-20.
Malah, penyokong terapi pelik ini juga pernah menggalakkan penggunaan air kencing dalam perubatan dan rawatan kosmetik.






























