Gambar hiasan.
WASHINGTON: Sejumlah kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menerima hadiah berupa wang tunai AS$100 (RM478.33) dan barang kemas berjenama selepas menyimpan gigi patah di bawah bantal untuk diberikan kepada pari-pari gigi.
Menurut Utusan Malaysia, Sky News melaporkan, tinjauan Delta Dental menunjukkan purata nasional untuk `hadiah pari-pari gigi’ di AS meningkat daripada bawah AS$2 (RM9.56) pada 2001 kepada lebih AS$6 (RM28.70) pada tahun lalu.
Namun, beberapa ibu bapa mengakui memberikan hadiah yang jauh lebih mewah kepada anak-anak mereka berbanding data tersebut.
Bekas doktor gigi, Mark Burhenne mendedahkan beberapa kanak-kanak turut menerima wang tunai, permainan video dan kadang-kala gajet seperti iPhone sekali gus menyebabkan golongan ibu bapa bersaing sesama sendiri.
Sementara itu, Chidera Nig dari United Kingdom (UK) berkata, dia menghadiahkan seutas rantai perak, gelang Louis Vuitton dan wang tunai berjumlah 60 pound (RM362.13) berserta sepucuk surat kepada anak perempuannya.
Kata Chidera, suaminya membeli barang berjenama itu apabila anak mereka dilahirkan.
Jelasnya, ini adalah masa sesuai untuk memberi hadiah itu kepada anak mereka.
“Anak saya kehilangan gigi susu pertamanya dan saya tahu proses itu tidak selesa baginya.
“Jadi, kami memutuskan untuk memberinya pengalaman `pari-pari gigi’ yang tidak dapat dilupakannya,” katanya.


































