James Ratib
KOTA KINABALU: Biarpun sudah 60 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan namun, masih terdapat kira-kira 100 buah klinik kesihatan berstruktur kayu terus beroperasi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Exco Kesihatan Negeri, Datuk James Ratib berkata, keadaan itu memalukan dan berharap pada 2025 semua klinik kayu tersebut dinaik taraf kepada konkrit.
“Di Semenanjung sudah tiada. Bukankah ini memalukan kita kerana kita masih dengan birokrasi yang melambatkan pelaksanaan projek-projek pembinaan klinik kesihatan di negeri ini.
“Kita mahu tiada lagi klinik kayu di Sabah seperti di Semenanjung sebab 60 tahun merdeka masih lagi kayu. Dalam mesyuarat pun, Sabah sahaja yang banyak klinik kesihatan kayu, syukur rakyat di luar bandar bertahan dengan keadaan sebegitu,” katanya.
Menurut beliau, sejak 2009 hingga tahun lalu, sebanyak 23 projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditarik balik kerana tidak sempat dilaksanaan atas pelbagai faktor termasuk masalah tanah, air, elektrik dan sebagainya.
Kata beliau, masalah tersebut kerana tiada komunikasi dan kerjasama antara agensi negeri dan Persekutuan untuk menyelesaikan isu pengambilan tanah dan lain-lain perkara.
“Itu sebabnya saya sebagai Exco Kesihatan memanggil Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Pengarah Tanah Negeri untuk duduk berbincang menyelesaikan isu tanah membabitkan 22 klinik kesihatan di Sabah.
“Kini, masalah tanah membabitkan 22 projek telah selesai dan satu projek pula telah ditarik balik iaitu projek pembangunan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Projek-projek sebegini perlu dibuat susulan agar pembinaannya dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.


































